KUALA LUMPUR: Sembilan belas inisiatif mengurangkan beban ekonomi rakyat yang telah dilaksanakan sepanjang tujuh bulan lepas oleh Kerajaan Perpaduan dilihat sebagai pendekatan yang baik dan perlu diteruskan, kata pakar.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, inisiatif kerajaan itu merupakan usaha menyeluruh dan meliputi pelbagai golongan serta memberi fokus kepada aspek pendidikan, kesihatan dan pengangkutan yang merupakan keperluan asas masyarakat umum.

"Bantuan ini setidak-tidaknya dapat meringankan beban kewangan yang dihadapi ramai golongan berkelayakan. Dalam sudut ini, hasil lain yang diterima oleh mereka melalui gaji atau hasil perniagaan sedia ada boleh digunakan untuk keperluan yang lain," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Anuar Ahmad pula berkata, inisiatif berkenaan sememangnya banyak membantu kumpulan masyarakat yang sangat memerlukan dan usaha itu perlu diteruskan.

Bagaimanapun, beliau berpandangan, kebanyakan inisiatif yang telah dilaksanakan setakat ini masih bersifat jangka pendek dan berharap pendekatan jangka panjang serta bersifat struktural dalam usaha pemulihan ekonomi negara dapat disegerakan.

"...misalnya menyediakan lebih banyak peruntukan untuk membangunkan sumber manusia yang berkualiti dan berkemahiran tinggi, mengurangkan kadar pengangguran belia, meningkatkan pelaburan yang berteknologi tinggi dan menyediakan lebih banyak institusi latihan dan kemahiran seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Pemodenan sektor pendidikan dan latihan untuk rakyat dalam negara ini seharusnya dijadikan keutamaan Kerajaan Perpaduan untuk meningkatkan daya saing sumber manusia negara," katanya.

Sementara itu, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Madya Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pelbagai inisiatif berkenaan merupakan usaha yang baik dan perlu bagi membantu kumpulan terkesan dalam mengharungi keadaan ekonomi negara yang tidak menentu.

Bagaimanapun, beliau berkata, sebahagian besar daripada inisiatif itu adalah bersifat langkah jangka pendek dan ada yang merupakan sedikit penambahbaikan terhadap inisiatif sedia ada.

"Sehubungan itu, inisiatif jangka masa pertengahan dan panjang perlu dilaksanakan serta diberi tumpuan yang lebih besar dan menonjol untuk melengkapkan inisiatif sedia ada.

"Beberapa inisiatif yang boleh dimulakan adalah memastikan adanya komitmen untuk terus meningkatkan gaji minimum serta purata gaji setiap pekerja secara tahunan.

"Selain itu, pembaharuan berterusan ke atas bantuan faedah sosial harus dilakukan menggunakan pangkalan data dan teknologi bagi memastikan bantuan khusus dan sesuai, bukannya satu piawaian untuk semua," katanya.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerusi video khas siri pertama laporan pencapaian Kerajaan Perpaduan yang disiarkan di laman rasmi Facebooknya semalam merangkumkan inisiatif kerajaan melibatkan pengenalan beberapa bantuan baharu serta menaikkan kadar bantuan sedia ada.

Laporan itu menyebut dalam tempoh tujuh bulan pentadbiran Kerajaan Perpaduan, sekurang-kurangnya 19 inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan untuk membantu mengurangkan beban ekonomi rakyat.

Daripada 19 inisiatif tersebut, sembilan merupakan kenaikan kadar bantuan bagi pelajar, anak muda, golongan berpendapatan rendah, guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), penjawat awam, pesara kerajaan dan pekebun. - BERNAMA