KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan menyediakan pusat jagaan mampu milik menerusi inisiatif Ekonomi Penjagaan (Care-Economy) mampu meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran buruh selaras dengan hasrat negara untuk memiliki 60 peratus tenaga kerja wanita menjelang tahun depan.

Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata inisiatif untuk golongan wanita dalam Ekonomi MADANI itu juga berupaya menggalakkan golongan berkenaan untuk kekal dalam pasaran kerja.

"Alasan yang sering diberi oleh wanita yang keluar daripada pasaran kerja adalah tanggungjawab menjaga anak dan ibu bapa yang sakit.

"Perkhidmatan jagaan seumpama ini sangat diperlukan tetapi sebahagian besar dalam kalangan rakyat tidak mampu untuk membiayainya berikutan kos yang tinggi," katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Beliau pada masa sama berkata langkah kerajaan memudahkan proses pendaftaran dan memperluas program pemutihan taska dan pusat penjagaan kanak-kanak yang belum berdaftar di seluruh negara dengan peruntukan RM10 juta dapat menggalakkan lebih ramai usahawan menceburi bidang berkenaan dengan standard yang lebih tinggi.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi dan Felo Kehormat Institut Masa Depan Datuk Dr Madeline Berma berkata inisiatif untuk golongan wanita yang diumumkan kerajaan baru-baru ini menunjukkan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk mengurangkan jurang penyertaan buruh wanita yang masih rendah iaitu 55.5 peratus berbanding lelaki sebanyak 80.9 peratus.

"Isu yang dihadapi masyarakat Malaysia (dalam pasaran buruh) ketika ini ialah menjadi generasi sandwic iaitu tersepit antara tanggungjawab menjaga orang tua dan anak pada masa yang sama. Ini mendorong sesetengah ibu bapa memilih untuk menghantar anak ke sekolah berasrama.

"Jadi perhatian yang diberikan kerajaan untuk Ekonomi Penjagaan mampu mengurangkan beban yang ditanggung dan menarik wanita kembali ke pasaran buruh," katanya.

Selain itu beliau turut mencadangkan supaya kuota bagi pengambilan pekerja wanita diwujudkan dan mana-mana syarikat yang memenuhi kuota ditetapkan diberikan insentif seperti pelepasan cukai dan sebagainya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika berucap pada majlis peluncuran Ekonomi MADANI baru-baru ini mengumumkan inisiatif pusat jagaan kanak-kanak mampu milik yang dilihat berupaya meningkatkan kadar penyertaan wanita di alam pekerjaan.

Katanya ia juga antara usaha kerajaan untuk merapatkan jurang jantina dalam pasaran buruh negara kerana kadar penyertaan buruh wanita ketika ini masih rendah berbanding negara maju lain iaitu hanya sekitar 55.5 peratus ketimbang lelaki 80.9 peratus.

-- BERNAMA