TUMPAT: Inisiatif Pucuk Hijau UMW yang dilancarkan oleh Kumpulan UMW Holdings Berhad merupakan satu inisiatif atau "road map" bagi mencapai sifar karbon menjelang 2050.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad, Datuk Ahmad Fuaad Kenali memaklumkan, melalui inisiatif itu, UMW Holdings Berhad menyasarkan untuk menanam 300,000 pokok di seluruh negara dalam tempoh dua tahun.

"Dari segi pelancaran Inisiatif Pucuk Hijau UMW ini, kami bersama sama rakan-rakan seperti Toyota, Perodua, Yayasan Hijau dan MNS akan membuat program-program menanam bakau di seluruh negara.

"Kami sasarkan sebanyak 300,000 pokok bakau dalam masa dua tahun dan kami juga akan libatkan pelajar, pelanggan Toyota dan Perodua untuk bersama-sama menanam selain dapat beri pengajaran kepentingannya untuk alam sekitar," katanya.

Setakat ini, 30,000 pokok bakau berjaya ditanam melalui Inisiatif Pucuk Hijau UMW dan pihaknya menyasarkan 150,000 pokok bakau akan ditanam sepanjang tahun ini.

Inisiatif Pucuk Hijau UMW dipacu oleh UMW Toyota Motor dan Perodua serta turut mendapat kerjasama daripada Yayasan Hijau Malaysia, Persatuan Pencinta Alam Malaysia manakala Astro pula sebagai rakan pendidikan.

Pelancaran Inisiatif Pucuk Hijau UMW di Pantai Sri Tujoh, di sini yang telah berlangsung pada 25 Jun lalu telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Kumpulan UMW Holdings Berhad, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Ketua Bahagian Penjualan Agensi Bahagian Sentral dan Pantai Timur, Astro, Nicholas Teh Aik Jun.

Sementara itu, Mustapa berkata, kerajaan meletakkan sasaran 100 juta pokok ditanam sehingga 2025 sebagai langkah melestari dan memulihara alam sekitar.

Beliau menjelaskan, setakat ini sejumlah 35 juta pokok telah berjaya ditanam di seluruh negara.

Mustapa turut menjelaskan, penglibatan sektor korporat dapat memberi galakkan kepada pihak lain untuk terlibat sama.