Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian remaja Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin di Mahkamah Koroner di sini dimaklumkan bahawa sebuah tingkap di vila penginapan remaja itu bersama keluarga boleh dibuka dari luar berikutan kerosakan pada selak.

Perkara itu dimaklumkan saksi kedua, Haanim Ahmed Bamadhaj yang merupakan pengurus The Dusun Resort dalam prosiding pada Isnin yang berlangsung di hadapan Koroner Maimoonah Aid.

"Selak itu pun budak kecil boleh buka...pintu depan pun boleh dibuka oleh budak kecil," katanya menjawab pertanyaan Koroner Maimoonah sama ada tingkap berkenaan ringan atau sebaliknya dan adakah ia boleh dibuka oleh kanak-kanak.

Dalam prosiding berkenaan, ketika ditanya peguam S Sakthyvell yang mewakili keluarga Nora Anne sama ada terdapat aduan mengenai kerosakan selak berkenaan sebelum kehilangan remaja perempuan itu, beliau menjawab sepanjang pengetahuannya, tiada.

Haanim yang kini berada di Berlin, Jerman yang memberi keterangan melalui telesidang, menjelaskan bahawa vila diinap keluarga itu berkonsepkan terbuka, namun tingkap perlu dibuka bagi pengudaraan selain untuk memastikan suhu di dalam tidak panas.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop yang menjadi saksi pertama memberitahu inkues bahawa pengamatan beliau pada tingkap di bilik berkenaan mendapati bahagian selaknya rosak.

"Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar yang memaklumkan kepada saya bahawa orang yang hilang itu keluar dari tingkap berkenaan dan oleh kerana itu, saya telah ke tingkap itu untuk melihatnya," kata beliau.

BACA: Prosiding inkues kes kematian Nora Anne Quorin bermula

Mohamad berkata demikian menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya yang juga pegawai penyelaras inkues Muhamad Iskandar Ahmad bagaimana beliau mengetahui mengenai tingkap berkenaan.

Pada prosiding itu, mahkamah turut ditunjukkan secara fizikal tingkap berkenaan selain gambar lokasi tingkap itu.

"Tingkap yang ditunjukkan di dalam mahkamah ini saya yakin adalah tingkap yang saya lihat.

"Saya tak pasti handle (pemegang) itu rosak (sama ada) disebabkan proses siasatan yang dijalankan atau sebelumnya," kata Mohamad.

Pada prosiding itu, Muhamad Iskandar mengetuai barisan Timbalan Pendakwa Raya bersama tiga yang lain iaitu Nuralis Mat, Nurhafizah Haron, Nur'atiqah Sapari manakala Sakthyvell mengetuai barisan peguam keluarga bersama Louise Azmi dan Lydia Ng serta The Dusun Resort diwakili Alliff Benjamin Suhaimi dan Datuk Dr Gurdial Singh Nijar.

Prosiding inkues berlangsung selama dua minggu bermula semalam hingga 28 Ogos dan bersambung semula pada 1 hingga 4 Sept dengan seramai 64 saksi dijangka dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos 2019, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Mayat Nora Anne ditemukan berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya bersama keluarga pada 13 Ogos susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berkuasa.

Laporan awal bedah siasat menyatakan, kematian remaja berkenaan yang merupakan golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus, berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

Prosiding inkues akan bersambung 9 pagi esok.

-- BERNAMA