Prosiding inkues kes kematian remaja Ireland, Nora Anne Quorin bermula di Mahkamah Koroner Seremban, di sini hari ini.



Prosiding dijalankan di hadapan Koroner Maimoonah Aid dan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya yang juga pegawai pengendali inkues, Muhamad Iskandar Ahmad.



Terdahulu, Maimoonah membenarkan prosiding berkenaan dijalankan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia mengikut seksyen 8, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.



Beliau berkata, ia selepas mengambil kira terdapat beberapa saksi tidak fasih berbahasa Inggeris.



Seramai 64 saksi utama yang disenarai pendek daripada 859 saksi dijangka akan dipanggil dalam prosiding yang bermula hari ini hingga 4 September.



Bagaimanapun dalam sidang pembukaan, Koroner memberitahu bahawa bilangan saksi kemungkinan akan berkurangan atau bertambah bergantung kepada keperluan inkues.



Prosiding dimulakan dengan memanggil saksi pertama iaitu Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop.



Dalam sesi soal jawab, beliau menyatakan bahawa secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan kes pencarian berkenaan yang melibatkan pelbagai pihak termasuk orang awam.



Bahan bukti seperti tingkap chalet ditunjukkan, rakaman suara panggilan ibu si mati dimainkan dan pegawai polis terlibat dipanggil bagi tujuan pengecaman.



Terdahulu, Muhamad Iskandar Ahmad memaklumkan kepada Koroner, inkues tersebut merupakan prosiding pendengaran penyiasatan bagi memastikan beberapa perkara termasuk siapakah si mati iaitu Nora Anne, bagaimana si mati menemui ajal dan bilakah si mati menemui ajal.



Ia juga bagi mengetahui apakah punca kematian si mati dan apakah kematian tersebut disebabkan oleh perbuatan ataupun kecuaian mana-mana pihak.



Turut bersama pada prosiding berkenaan adalah lima peguam pemerhati daripada keluarga dan pemilik resort lokasi kehilangan remaja perempuan itu.





Terdahulu, gadis lembam itu bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di resort The Dusun Pantai Hill, Pantai, Seremban pada 3 Ogos tahun lalu, sehari sebelum remaja itu dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya. 



Mayat remaja itu ditemukan 10 hari selepas kehilangannya oleh pasukan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat dalam keadaan tidak berpakaian berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, sekitar 2.5 km daripada eko-resort itu.



Polis sebelum ini mengesahkan hasil bedah siasat mendapati remaja itu telah mati kira-kira tiga hari sebelum ditemui selain tidak terdapat sebarang unsur jenayah termasuk dakwaan dirogol.



Malah, gadis itu disahkan mati akibat kebocoran pada usus berpunca kelaparan dalam tempoh yang lama dan hanya terdapat kesan calar kecil pada bahagian kaki yang tidak menjerumus ke arah yang boleh menyebabkan kematian kepada mangsa.



Justeru keluarga remaja terbabit memohon inkues pada Disember tahun lalu, bagi mengetahui kejadian sebenar menimpa Nora Anne bagi mengetahui punca sama ada remaja berkenaan diculik atau keluar sendiri dari pusat penginapannya.



Perjalanan prosiding yang berlangsung selama dua minggu, dari 24 hingga 28 Ogos dan dari 1 hingga 4 September itu juga boleh ditonton menerusi penstriman langsung yang disediakan oleh Badan Kehakiman Malaysia melalui portal rasmi badan itu pada pautan www.kehakiman.gov.my dan media sosial rasmi di YouTube serta Facebook: The Malaysian Judiciary.