MALAYSIA
Inkues Zara Qairina: Ibu enggan benarkan bedah siasat walaupun sudah diberi penjelasan

Ibu Allahyarhamah Zara Qairina tetap menolak bedah siasat dijalankan walaupun telah diberikan penjelasan berulang kali mengenai kepentingannya.
KOTA KINABALU: Ibu kepada pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir tetap menolak bedah siasat dijalankan walaupun telah diberikan penjelasan berulang kali mengenai kepentingannya.
Pegawai Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Logaraj Ratha, 35, berkata, beliau bertemu dengan ibu Allahyarham, Noraidah Lamat, pada petang 17 Julai lalu bersama kakak iparnya, Nur Shira Abdullah untuk menerangkan mengenai prosedur berkenaan.
Menurut Dr Logaraj, ketika pertemuan itu, Noraidah berada dalam keadaan tenang, boleh menjawab soalan dengan jelas serta sedar akan masa, tempat dan individu sekeliling.
“Walaupun Borang POL61 tidak dikeluarkan polis, proses bedah siasat klinikal masih boleh dilakukan dengan persetujuan waris terdekat."Namun, Puan Noraidah tetap memutuskan untuk tidak membenarkan bedah siasat dijalankan walaupun penjelasan diberi sebanyak dua kali.
“Semasa beliau menandatangani borang akuan enggan bedah siasat, saya turut menerangkan kepentingan prosedur itu. Puan Noraidah menyatakan sudah memaklumkan kepada polis mengenai keputusannya, manakala Puan Nur Shira juga bersetuju,” katanya ketika memberi keterangan sebagai saksi ketujuh inkues.
Dalam pada itu, Dr Logaraj memaklumkan, beliau menerima jenazah Zara Qairina selepas pelajar itu meninggal dunia kira-kira jam 5 petang 17 Julai lalu dan turut menjelaskan bahawa borang akuan enggan bedah siasat menyatakan keluarga tidak mengesyaki wujud unsur jenayah dalam kematian arwah.
Katanya, pada hari sama, Noraidah memaklumkan telah membuat laporan polis berhubung kematian anaknya tetapi enggan memberikan salinan laporan itu kepada Jabatan Forensik.
Media sebelum ini melaporkan, laporan polis dibuat selepas beliau mendapati kesan lebam pada bahagian belakang badan anaknya.
Dalam prosiding itu, Dr Logaraj turut memaklumkan, polis tidak mengeluarkan Borang POL61 selepas mendapat maklumat punca kematian daripada pegawai perubatan Neurosurgeri, Dr Pavankumar Balachandran, yang mengesahkan Zara meninggal dunia akibat Severe Traumatic Brain Injury with Hypoxic Ischemic Encephalopathy.
“Inspektor Wong Yew Zhung memberitahu saya selepas berbincang dengan pegawai atasan, pihak polis memutuskan tidak akan mengeluarkan Borang POL61. Hospital seterusnya dibenarkan menyerahkan jenazah kepada keluarga tanpa melalui proses bedah siasat mediko-legal,” jelasnya.
Prosiding inkues berhubung kematian Zara Qairina masih diteruskan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami