Skip to main content

Politik

Ruji Ubi dilantik setiausaha baharu PH Sabah, perkukuh jentera hadapi PRU

https://www.sinarharian.com.my/article/782828/edisi/sabah-sarawak/ph-sabah-struktur-semula-kepimpinan-lantik-ruji-sebagai-setiausaha
PH Sabah struktur semula kepimpinan untuk hadapi PRU. - Gambar Sinar Harian

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah hari ini mengumumkan penstrukturan semula kepimpinan gabungan itu sebagai langkah memperkukuh jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengerusi PH Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata penstrukturan itu menyaksikan pelantikan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Ruji Ubi sebagai Setiausaha PH Sabah yang baharu.

Beliau berkata pelantikan itu dibuat bagi memanfaatkan pengalaman luas dimiliki Ruji yang pernah menerajui beberapa kementerian di peringkat Persekutuan.

“Penstrukturan semula ini dibuat bagi memanfaatkan pengalaman tokoh-tokoh berpengalaman, khususnya Datuk Ruji yang pernah menyandang jawatan Ketua Setiausaha di beberapa kementerian.

“Kita berharap beliau dapat membantu memperkukuh aspek operasi PH Sabah, lebih-lebih lagi ketika kita sedang membuat persiapan menghadapi PRU akan datang,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PH Sabah, di sini, hari ini.

Mustapha berkata mesyuarat berkenaan turut mengekalkan beliau sebagai Pengerusi PH Sabah, manakala jawatan Timbalan Pengerusi terus disandang Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe dan Pengerusi Amanah Sabah, Datuk Lahirul Latigu.

Turut dilantik dalam jawatankuasa baharu itu ialah Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Chan Foong Hin, sebagai Pengarah Penerangan PH Sabah, manakala Penolong Setiausaha Amanah Sabah, Irwan Shah Mustapa, dilantik sebagai Bendahari.

Beberapa jawatan utama lain turut dikekalkan, termasuk Datuk Jannie Lasimbang sebagai Ketua Wanita PH Sabah, Zaidi Jatil sebagai Ketua Pemuda dan Datuk Peto Galim sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata PH Sabah kini berada dalam fasa memperkukuh kesiapsiagaan jentera di semua peringkat bagi memastikan gerak kerja gabungan itu lebih tersusun, bersepadu dan berkesan.

Beliau berkata PH Sabah juga berhasrat mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU lepas, namun perkara itu tertakluk kepada keputusan serta rundingan yang akan dimuktamadkan oleh kepimpinan parti.

“PH Sabah kini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kesiapsiagaan bagi menghadapi pilihan raya akan datang, termasuk memantapkan jentera parti di semua peringkat,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement