MALAYSIA
Inkues Zara Qairina: Peguam gesa elak tindakan ganggu perjalanan prosiding

Shahlan (dua, kanan) menegaskan menyebarkan maklumat berkaitan saksi akan menjejaskan kelancaran perjalanan kes serta memberi tekanan emosi kepada saksi dan keluarga mangsa. - Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Tindakan pihak luar menyebarkan maklumat berkaitan saksi dalam prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, dikhuatiri menjejaskan kelancaran perjalanan kes serta memberi tekanan emosi kepada saksi dan keluarga mangsa.
Ringkasan AI
- Peguam keluarga Zara Qairina mengecam penyebaran maklumat saksi inkues, kerana ia menjejaskan emosi saksi bawah umur dan mengganggu kelancaran prosiding.
- Prosiding inkues ditangguhkan ke Isnin depan dan akan dijalankan secara tertutup, bagi melindungi saksi kanak-kanak berusia antara 13 hingga 17 tahun.
- Koroner menyatakan kekecewaan terhadap kebocoran maklumat, manakala pakar tulisan tangan hadir semula untuk meneliti dokumen tambahan berkaitan kes.
"Gangguan luar bukan sahaja menjejaskan emosi mereka, tetapi juga perjalanan inkues,” katanya ketika bertemu media, di sini hari ini.
Beliau turut mengecam tindakan pihak tertentu yang menyebarkan kenyataan saksi kerana ia jelas menimbulkan tekanan kepada saksi serta keluarga, termasuk ibu Zara, Noraidah Lamat.
Menurutnya, perjalanan inkues masih panjang dengan melibatkan lebih 60 saksi akan dipanggil, termasuk lebih 30 saksi kanak-kanak berusia antara 13 hingga 17 tahun.
“Bayangkan, ada yang baru berumur 13 tahun, baru mengenal dunia asrama. Tekanan emosi sebegini boleh memberi kesan mendalam kepada mereka,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dalam mengulas, membuat komen atau memuat naik video berkaitan inkues selagi prosiding masih berjalan.
Sementara itu, prosiding hari ini turut menyaksikan pakar tulisan tangan, Dr. Lintini, hadir semula ke mahkamah untuk meneliti beberapa dokumen tambahan.
Prosiding inkues yang sepatutnya mendengar keterangan saksi dalam kalangan pelajar pada petang ini ditangguhkan ke Isnin depan berikutan penyebaran maklumat peribadi saksi di media sosial.
Koroner Amir Shah Amir Hassan menyatakan kekecewaannya terhadap kebocoran maklumat itu kerana ia menyebabkan gangguan dan penangguhan terhadap prosiding yang sudah memasuki hari ke-10 hari ini.
Beliau berkata, prosiding pada Isnin ini akan dijalankan secara tertutup membabitkan saksi bawah umur itu yang akan ditempatkan di bilik saksi.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas setelah ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan dikemukakan pihak polis manakala sebelum itu pada 8 Ogos AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami