ST. PETERSBURG: Kepulan asap tebal dilaporkan kelihatan di belakang katedral ikonik, St. Isaac di sini hari ini, selepas pihak berkuasa tempatan melaporkan serangan dron menyasarkan kemudahan infrastruktur di beberapa daerah.
Gabenor Leningrad, Alexander Drozdenko berkata, sistem pertahanan udara Rusia berjaya menembak jatuh 50 dron di wilayah berkenaan yang terletak di barat laut Moscow semalaman, dan sedang giat menangkis serangan berterusan yang disyaki dilancarkan oleh Ukraine.
Serangan itu berlaku ketika wilayah tersebut, yang menempatkan infrastruktur eksport tenaga penting dan loji penapisan minyak utama, bersiap sedia menjadi tuan rumah kepada forum ekonomi tahunan utama bermula hari ini.
Persidangan ekonomi tersebut, yang sering digelar oleh Presiden Vladimir Putin sebagai "Davos Rusia", berlangsung di St. Petersburg bermula Rabu.
Sementara itu, Gabenor St. Petersburg, Alexander Beglov menerusi aplikasi Telegram mengesahkan bahawa kemudahan infrastruktur di daerah Kirovsky menjadi sasaran serangan dron Ukraine berkenaan.
Menurut agensi berita antarabangsa Reuters, pengesahan lokasi kejadian itu dibuat berdasarkan analisis rakaman video saksi yang menunjukkan kedudukan kubah katedral, struktur bangunan serta susun atur jalan raya yang sepadan dengan imej satelit.