MALAYSIA
Inkues Zara Qairina: Pelajar ambil cuti 19 hari sebelum bertukar sekolah

Seorang pelajar yang dikaitkan dengan kes kematian Allayarham Zara Qairina Mahathir mengambil cuti sakit selama 19 hari sebelum berpindah ke sekolah lain.
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini dimaklumkan bahawa seorang pelajar yang dikaitkan dengan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir telah mengambil cuti sakit selama 19 hari sebelum berpindah ke sekolah lain.
Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Azhari Abd Sagap, yang tampil sebagai saksi kelapan, memaklumkan bahawa ibu kepada pelajar berkenaan - dirujuk sebagai Pelajar A - telah menghubunginya melalui aplikasi WhatsApp dan mengemukakan dua sijil cuti sakit daripada klinik kesihatan.
“Pada 28 Julai, ibu Pelajar A menghantar sijil cuti sakit bermula dari 28 Julai hingga 4 Ogos. Kemudian, pada 7 Ogos, beliau menghantar sijil baharu untuk tempoh 8 Ogos hingga 18 Ogos,” jelas Azhari ketika menjawab soalan peguam Joan Goh, yang mewakili salah seorang remaja dalam kes tersebut.
Azhari turut memaklumkan bahawa ibu Pelajar A pernah meminta cuti tambahan pada 26 Julai atas alasan anaknya mengalami trauma selepas didakwa diganggu oleh ibu Zara Qairina melalui mesej WhatsApp.“Beliau menyatakan anaknya trauma dan memberi amaran bahawa tindakan akan diambil sekiranya nama anaknya terus disebut. Saya menasihatkan agar perkara itu dilaporkan terus kepada pegawai penyiasat,” katanya.
Prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Hassan akan bersambung semula pada Isnin, melibatkan saksi dalam kalangan pelajar.
Dalam prosiding terdahulu, Azhari turut memaklumkan bahawa salah seorang pelajar yang dituduh dalam kes tersebut telah berpindah ke sekolah lain.
Namun, beliau tidak mengetahui sebab sebenar pemindahan itu kerana ia di luar bidang tugasnya.
Menurutnya lagi, pelajar lain yang turut dituduh masih bersekolah di SMKA Tun Datu Mustapha dan telah dipanggil untuk sesi kaunseling serta memberi keterangan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami