Inkues Zara Qairina: Pengetua nafi dakwaan nasihatkan ibu tidak buat laporan polis

Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada keesokan harinya. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Pengetua sebuah sekolah agama di Papar yang menjadi saksi dalam inkues kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, menafikan dakwaan bahawa beliau pernah menasihatkan ibu pelajar tersebut supaya tidak membuat laporan polis ketika berada di hospital.
Ringkasan AI
- Pengetua sekolah agama di Papar menafikan nasihatkan ibu pelajar Zara Qairina supaya tak lapor polis ketika di hospital.
- Saksi ke-47, Shaharoom Hashim, jelaskan hanya beritahu ibu Zara bahawa sekolah sudah lapor polis.
- Ibu Zara maklumkan ada orang di hospital kata 'buat laporan polis', tetapi pengetua kata sekolah sudah lakukan.
Shahlan sebelum itu mengatakan kepada saksi bahawa pihaknya dimaklumkan oleh ibu Zara Qairina mengenai apa yang berlaku ketika beliau berada di hospital pada hari kejadian.
"Ibu Zara memaklumkan kepada kami, semasa berada di hospital, ada orang di depan wad kecemasan memberitahu ibu Zara berbunyi begini: 'kau buat laporan polis'. Selepas itu, ibu Zara pergi berjumpa dengan pengetua dan bertanya, 'Puan, perlukah saya buat laporan polis?'.
"Reaksi cikgu adalah seperti ini: 'tak payahlah buat laporan, ketua warden dah buat laporan polis', sambil reaksi cikgu diikuti dengan tindakan cikgu membelai atau menyentuh bahu ibu Zara. Ini yang diceritakan oleh ibu Zara kepada kami. Adakah ini yang berlaku semasa di hospital?" soalnya kepada saksi.
Bagaimanapun saksi mengatakan ‘tidak’ mengenai dakwaan tersebut dan beliau seterusnya diminta menceritakan apa yang berlaku di hospital antaranya dengan ibu Zara Qairina.
"Setelah ibu Zara sampai dan kami dibenarkan untuk melawat Zara di dalam. Ketika itu, ibu Zara berulang-alik ditemani oleh pegawai lain, kemudian dia keluar dan berkata kepada saya, pandangan orang terdekat menyarankan agar dia membuat laporan polis.
"Jadi saya hanya mengatakan pihak sekolah sudah buat, itu sahaja," katanya.
Beliau juga menafikan bahawa beliau ada menyentuh atau membelai bahu ibu Zara Qairina semasa ditanya peguam dalam prosiding tersebut.
Sebelum itu, Shahlan bersama rakan sepasukannya, Rizwandean M. Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan Jame hadir sebagai pihak berkepentingan dalam inkues ini bagi mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat.
Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada keesokan harinya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


