Inkues Zara Qairina: Saksi kurang senang Zara berkongsi cerita 'vape', 'barcode'

Joan Goh berkata, saksi yang memberi keterangan tersebut bukan dari sekolah sama dengan Zara Qairina. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Walaupun Zara Qairina Mahathir seorang rakan yang baik, namun saksi memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa dia kurang senang apabila Allahyarham berkongsi cerita mengenai rokok elektronik dan perbuatan mengelar tangan.
Saksi inkues kematian Zara Qairina yang ke-42 yang juga remaja bawah umur ke-33 memberi keterangannya dalam inkues ini secara 'in camera' di hadapan Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan di Mahkamah Koroner di sini pada Isnin.
Peguam Joan Goh berkata, saksi yang memberi keterangan tersebut bukan dari sekolah sama dengan Zara Qairina Mahathir, namun mereka berkenalan selepas menghadiri satu perkhemahan di Ranau pada tahun lalu dan saling berhubung melalui aplikasi WhatsApp.
"Hubungan mereka lebih rapat melalui telefon berbanding secara bersemuka. Sepanjang perkenalan, mereka hanya pernah berjumpa dua kali iaitu semasa kem tersebut dan sekali lagi ketika Hari Raya Aidilfitri tahun ini apabila arwah datang ke rumah saksi bersama ibunya.
"Perbualan mereka kebanyakannya berbentuk sembang biasa. Arwah tidak pernah menceritakan masalah keluarga atau masalah sekolahnya secara terperinci.
"Namun, pernah sekali apabila saksi bertanya tentang bapanya, arwah hanya menjawab bahawa bapanya sibuk bekerja," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu pada Isnin.
Katanya lagi, saksi berkata, pada penghujung tahun lalu, Allahyarhamah pernah menghantar gambar tangannya yang mempunyai kesan kelar.
"Apabila saksi bertanya, arwah menyatakan bahawa perbuatan itu dilakukan kerana terikut kawan di sekolah. Saksi telah menasihati arwah agar tidak mengulangi perbuatan tersebut.
"Saksi juga pernah mendengar daripada arwah mengenai istilah 'barcode' yang digunakannya untuk merujuk kepada kesan kelaran ditangannya. Arwah menjelaskan bahawa selepas menghantar gambar itu, memang ada kelihatan bekas kelaran pada tangannya.
"Selain itu, arwah pernah bercerita bahawa ketika di sekolah rendah, ada kawannya yang mengajarnya untuk menghisap vape.
"Bagaimanapun, arwah tidak pernah menceritakan kepada saksi bahawa beliau terlibat dengan gambar atau video lucah," katanya.
Tambah Joan lagi, menurut saksi, sepanjang perkenalan mereka, Allahyarhamah tidak pernah menyatakan bahawa dia menjadi mangsa buli.
"Namun, arwah ada menyebut bahawa seorang kawannya berasa cemburu terhadap saksi.
"Pada keseluruhannya, arwah Zara seorang kawan yang baik. Namun begitu, saksi ada sedikit rasa kurang senang apabila beliau berkongsi cerita mengenai vape dan perbuatan mengelar tangan," jelasnya.
Joan dan rakan sepasukannya Datuk Ram Singh dan Prem Elmer Ganasan mewakili salah seorang daripada lima pelajar yang dituduh dalam kes berkaitan Zara Qairina dan mereka menjadi pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.
Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


