MALAYSIA
Inkues Zara Qairina: Tiada kesan lebam, dera pada tubuh - Doktor

Inkues kematian Allahyarham Zara Qairina bersambung di Mahkamah Koroner, Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu hari ini. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Seorang pegawai perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Queen Elizabeth (HQE) memberitahu Mahkamah Koroner bahawa tiada kesan lebam atau tanda penderaan ditemukan pada tubuh Allahyarham Zara Qairina Mahathir semasa menerima remaja itu untuk pemeriksaan pada 16 Julai lepas.
Dr Janefer Voo, 32, berkata pelajar tingkatan satu itu dibawa ke jabatan kecemasan oleh penolong pegawai perubatan bersama pasukan ambulans dalam keadaan tidak sedarkan diri, namun mekanisme kecederaan tidak diketahui pada ketika itu.
"Hasil pemeriksaan mendapati, tiada sebarang kesan lebam atau tanda penderaan pada tubuh pesakit. Hasil pemeriksaan juga menunjukkan pelajar itu disyaki mengalami kecederaan otak yang serius selain disyaki mengalami pendarahan dalaman.
"Disebabkan tekanan darah mangsa terlalu rendah, remaja itu disyaki mengalami kecederaan dalaman "due to high impact" pada badan yang menyebabkan pendarahan dalam badan," kata saksi ketiga itu ketika membacakan pernyataan saksinya pada hari keempat prosiding inkues kematian remaja itu.Beliau berkata amaran trauma diaktifkan pada 4.42 pagi bagi membolehkan rujukan segera dibuat kepada pasukan Jabatan Neurosurgeri, Ortopedik, Pembedahan dan Anestesiologi, sementara prosedur resusitasi dilakukan terhadap mangsa.
Prosiding siasatan di hadapan Koroner Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan bersambung selepas rehat tengah hari.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai. Dia dimasukkan ke hospital berkenaan sehari sebelum setelah ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.
Pada 13 Ogos, Pejabat Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan pihak polis.
Pada 8 Ogos, AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami