Namun baru-baru ini, wujud satu lagi pulau peranginan yang makin mendapat perhatian pelancong dalam dan luar negara.
Dari bandar Kota Kinabalu, anda hanya perlu naik bot selama 15 minit ke sebuah pulau dinamakan Pulau Sepanggar.
Di pulau itu hanya ada satu penginapan iaitu Mari Mari Sepanggar.
Air lautnya yang biru dan pasirnya putih gebu pasti menggamit pemandangan damai dan tenang.
Namun ada sesuatu yang nampak 'lain' di pulau berkenaan.
Kira-kira 200 meter dari kawasan pantai, jaring pukat diletakkan bagi menghalang kemasukan sampah sarap ke pantai itu.
Setiap hari, petugas resort akan mengutip sampah-sampah berkenaan menggunakan bot kayak.
Kebanyakan sampah ditemui adalah sampah plastik seperti beg plastik, plastik bungkusan makanan dan botol air plastik.
Menurut pengurus Mari Mari Sepanggar, Jesika Maiba, sampah-sampah berkenaan bukan dari Pulau Sepanggar tetapi telah dihanyut arus dari kawasan bandar dan kampung air berhampiran.
Malah, ada kalanya mereka menemui televisyen dan peti sejuk yang terapung di perairan berkenaan!
Situasi itu juga didepani pulau-pulau lain seperti Pulau Manukan, Mamutik dan Sapi ekoran kedudukannya dekat dengan bandar dan perkampungan pesisir.
Bezanya, di Pulau Sepanggar, pengusaha resort berupaya menjaga pulau itu menerusi kaedah berkenaan.
Namun sampai bila mereka terpaksa mengutip sampah sarap yang hanyut ke pantai?
Adalah harapan Jesika supaya kerajaan serius dalam mendidik penduduk Sabah agar menjaga kebersihan dan tidak buang sampah merata-rata.
"Saya harap kerajaan mengambil langkah memberi pendidikan dan kesedaran kepada orang ramai supaya jangan buang sampah merata-rata, terutama mereka yang tinggal di tepi pantai dan kawasan pesisir.
"Juga sediakan tong sampah di setiap rumah supaya mereka tidak membuang sampah ke laut," katanya.
Ini kerana impaknya adalah kepada sektor pelancongan kerana sampah sarap yang dibuang ke laut merosakkan keindahan pulau-pulau di Sabah.
Salah seorang pelancong, Shinnosuke Fuju, 30 tahun, berharap agar kerajaan mengambil tindakan tegas berhubung perkara itu.
"Kalau saya sebagai pelancong melihat sampah-sampah ini memang kurang bagus lah. Namun saya gembira melihat inisiatif mengutip sampah yang dilakukan petugas di sini. Ia amat bagus untuk alam sekitar dan pelancongan," katanya.