Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Insiden kepala air: Polis kesan isyarat telefon bimbit mangsa

Bernama 18/11/2025 | 22:55 MYT
Telefon bimbit milik mangsa yang dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Jambatan Saloma dikesan di sekitar kawasan Puchong atau Shah Alam. Gambar kecil: Sazalee. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Pasukan penyelamat telah mengesan isyarat kedudukan telefon bimbit seorang lelaki yang dikhuatiri lemas akibat insiden kepala air di Sungai Klang pada Isnin, dipercayai hanyut dibawa arus dan berada di sekitar Puchong atau Shah Alam, Selangor.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sazalee Adam berkata pasukan penyelamat masih cuba membuat pencarian di sekitar kawasan isyarat telefon berkenaan yang masih berfungsi ketika ini.

"Isyarat telefon itu ada 'on and off', sekejap berdering sekejap berhenti.

"Namun, kita percaya kemungkinan besar telefon itu berada di dalam beg yang hanyut dibawa arus, bukannya berada pada badan mangsa," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini semalam.

Mengenai perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR), beliau berkata usaha telah dilakukan meliputi jarak sejauh 20 kilometer (km) di sepanjang sungai dari lokasi kejadian hingga kawasan berdekatan Lebuh Raya KESAS dan perangkap sampah di Puchong.

Beliau berkata operasi dibahagikan kepada empat pasukan menggunakan pelbagai aset termasuk bot, kayak dan empat unit dron bagi memantau permukaan sungai, namun setakat ini masih belum menemukan sebarang petunjuk positif.

"Pencarian di permukaan dilakukan memandangkan paras air masih tinggi sekitar dua meter. Namun, usaha ini berdepan kesukaran kerana tiada sebarang petunjuk termasuk kenderaan jenis Pajero milik mangsa ditemukan setakat ini," katanya.

Beliau berkata operasi SAR ditangguhkan pada 6.30 petang ini dan akan disambung semula pagi ini dengan penambahan kekuatan anggota serta aset termasuk anjing pengesan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam pada itu, beliau memaklumkan ahli keluarga mangsa yang berada di lokasi kejadian telah diberi penerangan jelas oleh polis mengenai status terkini operasi bagi meredakan kegusaran.

Sementara itu, Komander Operasi, Rahmat Kamarulzaman dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata SAR semalam turut memeriksa laluan keluar masuk air di sepanjang kawasan pencarian.

"Bagaimanapun, operasi penyelaman bergantung sepenuhnya kepada keadaan air esok. Jika air kembali normal, kita akan turunkan penyelam di lokasi-lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti," katanya.

Kejadian berlaku pada kira-kira 5.30 petang Isnin itu turut melibatkan 11 mangsa lain yang terperangkap di bawah jambatan, namun kesemua mereka berjaya diselamatkan oleh JBPM.

-- BERNAMA

#kepala air #sungai klang #isyarat telefon bimbit #Jambatan Saloma