Insiden kren SUKE: Mangsa cedera parah masih di ICU

Hasimi Muhamad
Mac 24, 2021 08:14 MYT
Zulkefly berkata pihak polis juga masih belum mendapatkan keterangan mangsa berhubung insiden tersebut - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tempatan yang cedera parah akibat dihempap komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) Jalan Alam Damai, di sini, pada Isnin dilaporkan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Bagaimanapun, Zulkefly tidak dapat memperincikan keadaan sebenar mangsa sama ada dalam keadaan stabil atau sebaliknya.
Tambah beliau, pihak polis juga masih belum mendapatkan keterangan mangsa, Low Zy Jing, 33, yang juga pemandu kereta jenis Perodua Bezza berhubung insiden tersebut.
"Mangsa masih di dalam ICU. Dia belum dapat ceritakan apa-apa berhubung kejadian tersebut. Namun, kita sudah dapat keterangan secara umum (daripada saksi kejadian)," katanya kepada Astro AWANI, di sini.
Jelas beliau lagi, kertas siasatan berhubung insiden yang mengorbankan tiga pekerja projek pembinaan dari China itu dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.
Tragedi SUKE | Mayat terakhir berjaya dikeluarkan
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam kejadian sekitar 8.30 pagi itu, tiga warga China dikenali sebagai Ding Kunfu, Jiang Jinboa dan Mu Tong Zheng disahkan maut.
Ding dan Jiang maut selepas terjatuh dari ketinggian 36.6 meter ketika menyelenggara landasan berkenaan.
BACA: Insiden kren SUKE: Identiti tiga mangsa maut dikenal pasti
BACA: Insiden kren Lebuh Raya SUKE: Satu lagi mangsa korban dipercayai masih tersepit
BACA: Insiden kren SUKE: Mayat terakhir berjaya dikeluarkan
Sementara itu, mayat Mu yang tersepit di bawah komponen kren gantri selamat dibawa turun pada jam 3.50 pagi Rabu selepas lebih 43 jam operasi dijalankan.
Low Zy pula cedera parah akibat dihempap struktur kren berkenaan semasa melalui kawasan tersebut, sementara dua lagi individu terselamat.
Setakat ini, punca kejadian masih dalam siasatan.
Cerita Sebalik Berita: Tragedi | Komponen kren jatuh di SUKE
#ICU #Akta Pengangkutan Jalan 1987 #Insiden kren SUKE #kren runtuh #Low Zy Jing #ACP Zulkefly Yahya #cedera parah #Warga China meninggal dunia #Ding Kunfu #Jiang Jinboa #Mu Tong Zheng