NATIONAL
Insiden kren Lebuh Raya SUKE: Satu lagi mangsa korban dipercayai masih tersepit

Punca kejadiaan dipercayai berlaku sewaktu kerja penyelenggaraan sedang dijalankan. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Seorang lagi mangsa kejadian kren terjatuh di tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berdekatan Persiaran Banyan, Jalan Alam Damai, di sini disahkan masih belum berjaya dikeluarkan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Nordin Pauzi memaklumkan mangsa yang merupakan pekerja warga China turut dilaporkan meninggal dunia.
Dua lagi mangsa yang maut telah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Mukriz (HCTM) untuk proses bedah siasat, tambah Nordin.
“Walau bagaimanapun satu lagi mangsa yang terhimpit di atas rangka struktur dan operasi menyelamat sedang dilaksanakan.
“Jadi kita juga mendapat kerjasama daripada pihak kontraktor untuk membuat angkatan kepada bebanan yang menindih mangsa berkenaan dan semoga kerja-kerja ini dapat dipercepatkan.
“Kami jangka dalam masa tiga jam dari sekarang ini kita akan ada satu perkembangan baharu. Diharap kita dapat mengangkat bebanan ini dan kita berjaya mengeluarkan mangsa berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari.
BACA: Ketika kejadian, beliau berkata seramai enam mangsa terlibat.
Daripada jumlah tersebut, tiga dilaporkan meninggal dunia, satu mengalami kecederaan manakala dua lagi terselamat.
Mengulas lanjut, beliau berkata bebanan struktur kren yang berat telah menyukarkan operasi menyelamatkan mangsa yang tersepit.
“Bebanan itu memang berat dan berstruktur tinggi.
Jadi, kestabilan itu amat penting. Penggunaan kren yang berkapasiti tinggi dijangka akan menyelesaikan masalah ini,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon memaklumkan kertas siasatan berhubung kejadian tersebut telah dibuka.
“Pihak polis buka kertas siasatan di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan.
“Manakala mayat telah dihantar ke HUKM untuk bedah siasat dan laporan polis yang diterima akan diserahkan kepada pihak DOSH untuk siasatan lanjut,” katanya.
Bagaimanapun, setakat ini punca kejadian dan identiti mangsa masih belum didedahkan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami