MERSING: Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang menyebarkan maklumat palsu berkenaan insiden penyelam warga asing yang hilang di perairan Pulau Tokong, Sanggol, Mersing sejak Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superitendan Cyril Edward Nuing berkata, amaran itu disuarakan susulan perkara itu mampu mangganggu kelancaran operasi menyelamat yang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Menurut Cyril, gambar dan maklumat palsu yang tersebar berkaitan insiden berkenaan turut mampu menggugat sensitiviti bagi keluarga mangsa yang terlibat. 

Dalam masa sama, beliau memohon agar semua pihak menghormati keluarga mangsa yang sedang melalui satu fasa dan keadaan yang sukar.

"Kita tidak mahu berlaku sedemikian. Sekiranya dikesan ada berlaku penyebaran berita palsu, pihak polis dengan tegasnya akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka ini,” kata Cyril.

Beliau berkata demikian pada sidang media berkaitan insiden yang membabitkan penyelam warga asing hilang di perairan Mersing, di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Mesing, Mohamed Shakib Ali berkata, ia merupakan kejadian kali kedua membabitkan pemandu bot yang dikesan positif dadah di daerah itu.

Jelasnya, pemantauan secara lebih konsisten perlu dibuat bagi memastikan mana-mana tekong bot tidak terlibat dengan gejala berkenaan.

BACA: Insiden penyelam warga asing di Mersing: Mangsa belum ditemui, kawasan pencarian diperluas

BACA: Penyelam hilang di Mersing: Jurulatih selam ditemui selamat

[INFOGRAFIK] Kronologi penyelam hilang di Mersing

Mohamed Shakib turut menyarankan kerjasama antara persatuan, pemilik bot dan komuniti laut yang lain perlu dijalinkan bagi memperkasa usaha itu.

“Ini merupakan insiden kedua tekong bot positif dadah. Perlu ada satu pendekatan untuk kita bersama dengan persatuan dan pemilik bot kita pantau kakitangan mereka dalam mengendalikan aktiviti di laut,” katanya.

Menerusi sidang sama, beliau berkata, aktiviti selam skuba atau snorkeling di perairan Mersing akan dibenarkan untuk beroperasi semula selepas penilaian dilakukan, terhadap risiko melakukan aktiviti di laut.

Terdahulu pada Khamis, Pejabat Daerah Mersing telah mengeluarkan notis mengenai larangan sebarang bentuk aktiviti penyelaman diadakan disekitar perairan berkenaan yang berkuatkuasa serta-merta.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, pada Khamis, telah menitahkan kesemua aktiviti menyelam di perairan Mersing dihentikan buat sementara waktu.

Baginda bertitah ini berikutan insiden kehilangan empat penyelam sekitar Pulau Tokong Sanggul yang terletak berhampiran Pulau Sibu di sini.