SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
MALAYSIA

Insiden pesawat Hornet TUDM: 'Bunyi seakan peluru berpandu' - Saksi

Bernama 21/08/2025 | 22:15 MYT
Khairul Azli Syahmie menceritakan kejadian insiden kemalangan melibatkan sebuah pesawat tempur F/A-18D Hornet milik TUDM di Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah (Pangkalan Udara Kuantan), ketika ditemui pemberita malam tadi. --fotoBERNAMA
KUANTAN: Bunyi letupan kuat seperti peluru berpandu jelas kedengaran dari sekitar kawasan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (Pangkalan Udara Kuantan), kata seorang daripada saksi insiden kemalangan pesawat tempur F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), malam tadi.

Mazlan Abdullah, 61, yang ketika itu berada di kedai makan berhadapan pangkalan udara itu berkata dia mendengar letupan sebanyak dua kali dan turut melihat cahaya api dari kawasan berkenaan.

"Selepas bunyi letupan, saya dapat melihat api dalam kawasan lapangan terbang dan asap berkepul-kepul. Orang ramai yang berada di kawasan berdekatan juga cuba pergi melihat apa yang berlaku.

"Ketika saya melihat ke lapangan terbang, ada api sedang marak, tetapi selepas letupan kedua, api lebih marak dan ada juga bau hangit," kata pekerja kontrak berkenaan kepada pemberita di sini malam tadi.

Jurutera elektrikal Khairul Azli Syahmie Abdul Aziz, 26, pula berkata dia turut mendengar bunyi letupan dari rumahnya yang terletak kira-kira 500 meter hingga satu kilometer dari tempat kejadian, namun tidak mengendahkannya kerana menyangkakan pasukan TUDM sedang menjalani latihan.

"Bila saya tengok dalam media sosial ada jet pejuang jatuh, tetapi saya tak pergi tengok (di luar) sebab saya dan isteri ingat itu adalah latihan tentera. Kadang-kadang askar ada buat latihan dekat sini sebab itu kami dah biasa dengar," katanya.

Selain itu, Khairul Azli Syahmie berkata jiran-jiran di kawasan kediamannya di Pandan Perdana turut keluar dari rumah sejurus bunyi letupan berkenaan untuk melihat apa yang berlaku.

Terdahulu, sebuah pesawat tempur F/A-18D Hornet milik TUDM terlibat dalam satu insiden kemalangan di kawasan landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah (Pangkalan Udara Kuantan) pada 9.05 malam tadi.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman yang mengesahkan insiden berkenaan berkata seorang juruterbang dan pembantu juruterbang TUDM dilaporkan selamat.

-- BERNAMA

#pesawat Hornet TUDM #Kuantan #letupan #Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah #Pangkalan Udara Kuantan #saksi