Insiden rusuhan: Kehadiran JKPTG untuk bina pagar penghadang di sebelah tokong - Jalaluddin

Astro Awani
September 29, 2021 12:48 MYT
Jalaluddin berkata, pihak terbabit bukan hadir untuk merobohkan apa-apa binaan tokong seperti tanggapan sekumpulan penganut berkenaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kehadiran Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG), Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur (PTGWPKL), bersama kontraktor di luar sebuah tokong di Cheras, semalam, adalah untuk kerja pembinaan pagar penghadang.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata pagar itu bagi pembinaan laluan masuk ke tapak projek Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Sungai Besi.
Katanya, pihak terbabit bukan hadir untuk merobohkan apa-apa binaan tokong seperti tanggapan sekumpulan penganut berkenaan.
"Saya dengan penuh rasa kecewa dan sedih ingin merujuk kepada insiden kekecohan yang tercetus di luar sebuah tokong di Cheras, apabila sekumpulan penganut yang membawa kayu dan besi didakwa menyerang anggota polis, serta cubaan merosakkan jentolak, disebabkan salah anggap bahawa pihak berkuasa mahu merobohkan rumah ibadat mereka.
"Untuk makluman, di kawasan tersebut terdapat sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tai Thung dan SMK Jalan Sungai Besi yang mempunyai 24 kelas yang akan dibina.
"Manakala kedudukan tokong tersebut adalah berdekatan dua sekolah berkenaan.
"Surat Pemberitahuan Pengosongan Tapak (tempoh selama 14 hari dari tarikh notis) telah dikeluarkan pada 6 Mei 2021 oleh JKPTG Putrajaya terhadap struktur gelanggang bola keranjang, pondok pengawal, tempat letak kenderaan, struktur jejantas dan struktur pejalan kaki berbumbung yang berada bersebelahan tokong tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Rusuhan | Polis nafi wujud operasi roboh tokong, empat ditahan
BACA: Polis nafi rusuhan berpunca daripada tindakan roboh tokong, 4 individu ditahan
Terdahulu, tular di media sosial dengan satu rakaman video yang menunjukkan kekecohan sekumpulan individu dengan pihak berkuasa.
Dalam video terbabit, beberapa individu kelihatan berang dan bertindak membaling kayu ke arah pihak polis.
Dalam pada itu Jalaluddin menjelaskan, pihaknya memandang serius akan perkara itu kerana ia melibatkan kekeruhan persepsi antara para penganut kepercayaan dengan pihak berkuasa walaupun keadaan telah berjaya diredakan.
Apatah lagi tegasnya, ia cuba dimanipulasi dan dieksploitasi di media sosial oleh sesetengah pihak, sehingga berisiko besar untuk menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan mengugat ketenteraman awam.
"Justeru, saya pohon pihak berkuasa berkaitan dapat menyegerakan siasatan ini agar punca permasalahan insiden tersebut dapat kita peroleh segera, dan tindakan susulan dapat diselesaikan dengan harmoni," katanya.
#Roboh tokong #Penganut Cina #rusuhan #serang polis