KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi dengan kejadian seorang jurulatih yang menampar dua pemain wanita semasa satu kejohanan bola tampar remaja pada 16 Disember lepas.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan.

"Laporan penuh menyusul dan @KemPendidikan memohon saksi untuk tampil memberi keterangan.

"(KPM) tekad mewujudkan sekolah yang selamat untuk semua murid dan akan sentiasa menjadi keutamaan," katanya menerusi ciapan di Twitter.

BACA: Video jurulatih tampar muka pemain bola tampar tular

BACA: Tular jurulatih tampar pemain: 'Ini tidak sepatutnya berlaku' - Hannah Yeoh

BACA: Jurulatih tampar pemain digantung tugas, siasatan sedang dijalankan - Mava

Respons tegas itu turut disahut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang memberi jaminan akan menyiasat insiden berkenaan.

Jelas beliau, insiden sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana akan memberi kesan negatif kepada pelajar.

Dalam perkembangan sama, Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) dalam satu kenyataan memaklumkan mengenai penggantungan tugas jurulatih terbabit.

Menurut Mava, jurulatih berkenaan digantung daripada melibatkan diri dalam semua aktiviti kebangsaan sehingga siasatan selesai.