MALAYSIA
Insiden tembak tular di Behrang: Polis sahkan tahan lelaki disyaki terlibat kes pecah rumah

Noor Hisam (tengah) menyantuni anggota polis yang juga peserta ketika hadir pada perasmian Program Ter...Paling Pahlawan Challenge 2025 di Padang Speedy, Teluk Intan, 20 Sept 2025. --fotoBERNAMA
TELUK INTAN: Polis menahan seorang lelaki disyaki terlibat kes pecah rumah dalam satu insiden tular di Hentian Rehat dan Rawat (RR) Behrang arah selatan, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) tengah hari semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata suspek dari arah Manjung menghala ke Kuala Lumpur berjaya ditahan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah yang melakukan rondaan cegah jenayah kira-kira 12.30 tengah hari.
Beliau berkata berlaku kejadian kejar antara polis dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Aruz dinaiki suspek berusia 35 tahun dari arah Tapah sehingga ke lokasi kejadian.
"Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kenderaan dipandu suspek dan polis menemukan pelbagai peralatan yang digunakan untuk pecah rumah termasuk jaket polis di dalam kenderaan suspek.
"Ini adalah kolaborasi yang baik antara (polis) daerah bekerja dalam satu pasukan sehingga berjaya menangkap suspek," katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Program Ter..Paling Pahlawan Challenge 2025 anjuran IPD Hilir Perak di Padang Speedy di sini semalam.
Noor Hisam bagaimanapun berkata pihaknya masih mengesan dua lagi MPV jenis Toyota Hilux dan Perodua Alza yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek yang ditahan.
"Insya-Allah kami dapat menyelesaikan kes ini dengan tertangkapnya suspek utama," katanya.

Tangkap layar video tular memaparkan kejadian kejar di antara polis dan suspek berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Behrang pada Sabtu. - Foto Sinar Harian
Terdahulu, tular di media sosial video sekumpulan anggota polis mengejar dan menahan kenderaan penjenayah yang dipandu melawan arus sebelum suspek memasuki semula lebuh raya berkenaan.
Dalam video itu, kedengaran bunyi tembakan sebelum MPV dipandu suspek berjaya dipintas dan dihalang, sebelum pemandunya ditarik keluar oleh anggota polis dari dalam kenderaan berkenaan.
Suspek kemudian dilihat diarah berbaring di bahu jalan sebelum pihak polis melakukan pemeriksaan pada kenderaan suspek.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami