KUALA LUMPUR: Raja-Raja Melayu boleh memainkan peranan yang lebih besar untuk memerhati dan bertindak dalam mengadili pertentangan politik di negara ini, cadang Datuk Seri Nazir Razak.

Bekas eksekutif perbankan disegani itu melihat ketertinggian institusi itu perlu menjadi sandaran dalam usaha membentuk budaya politik yang lebih matang, seimbang, telus dan fokus di atas landasan membawa negara ke arah sejahtera.

Perkara itu antara disentuh dalam buku sulungnya berjudul "What’s in a Name" yang diterbitkan pada 8 November lalu.

BACA: Ada Apa Di Sebalik Nama Nazir Razak

“Kita bertuah untuk mempunyai institusi demokratik ini yang tertanam dalam budaya kita, jadi mengapa tidak meminta monarki untuk memainkan peranan yang lebih besar dari segi mengadili pertentangan politik.

“Kerana hari ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melapor terus kepada Perdana Menteri, walaupun mereka melapor kepada Parlimen tetapi jika parti pemerintah dominan di Parlimen bererti mereka di bawah kuasa Perdana Menteri.

“Saya rasa lebih adil jika mereka benar-benar bebas dan satu caranya memberikan kebebasan itu adalah meletakkan mereka di bawah Majlis Raja-Raja.”

Ia sekadar sebuah idea, pendapat beliau yang juga memerhatikan rapat perjalanan politik di negara ini di mana institusi raja-raja itu juga dirasakan boleh menaungi gerakan reformasi pentadbiran negara.

Seperti yang beliau cadangkan dalam bukunya, wajar diwujudkan sebuah majlis yang dianggotai oleh perwakilan setiap masyarakat untuk menjadi badan bebas merangka langkah masa hadapan negara.

“Saya rasa orang-orang hebat dan juga beberapa warga Malaysia yang terpilih secara rawak bersama di atas platform ini, yang boleh dipanggil Perhimpunan Nasional, saya memanggilnya ‘Better Malaysia Assembly’, atau boleh saja dipanggil 'Perhimpunan Rakyat' sebagai contoh.

“Kemudian kita duduk bersama, ‘offline’ selama 18 bulan hingga dua tahun hari-hari memerah otak untuk Malaysia yang lebih baik, dan hadir dengan saranan-saranan kepada Parlimen yang perlu dilaksanakan, kerana kita perlu ‘reset’ semula negara ini.”

Tonton temu bual eksklusif Nazir bersama Ibrahim Sani, di sini:


Institusi raja perlu berperanan lebih besar sebagai pengadil peraduan politik negara - Nazir Razak