Institut REHDA gesa semakan semula komprehensif terhadap dasar perumahan

Ng berkata, terdapat keperluan yang kritikal bagi mewujudkan strategi yang dinamik, dipacu data dan kolaboratif untuk mengatasi cabaran perumahan negara dengan berkesan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Institut REHDA, cabang penyelidikan dan latihan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA), menggesa agar asas pemikiran semula diperkukuhkan, selain semakan menyeluruh terhadap dasar perumahan Malaysia yang memberi tumpuan kepada agenda 'perumahan untuk semua'.
Ringkasan AI
- Institut REHDA menggesa pemerkasaan asas pemikiran semula dan semakan menyeluruh dasar perumahan Malaysia untuk fokus kepada agenda 'perumahan untuk semua'.
- Pengerusi Institut REHDA menyarankan strategi dinamik, data-driven, dan kolaboratif untuk menangani cabaran perumahan negara dengan berkesan.
- Institut tersebut menyokong dasar-dasar perumahan yang kontekstual, disesuaikan dengan keadaan sosioekonomi, serta pentingnya perkongsian data untuk penggubalan dasar yang berkesan.
"Perbincangan menyentuh mengenai keperluan untuk semakan semula dasar kuota perumahan sedia ada secara berkala.
"Ia bukan bertujuan untuk memansuhkan sistem kuota, tetapi sebaliknya bagi menyesuaikannya secara bertanggungjawab apabila kuasa pasaran dan sosio ekonomi berubah.
"Turut dibangkitkan mengenai pendekatan yang seragam dan setara untuk semua merentasi semua negeri dan daerah yang telah terbukti tidak berkesan, hingga mengakibatkan ketidakpadanan antara penawaran dan permintaan," kata kenyataan itu.
Selain itu, institut tersebut juga menyokong dasar-dasar yang kontekstual dan disesuaikan dengan keadaan sosioekonomi dan pasaran setiap lokasi.
Ng turut menyokong penggunaan pendapatan boleh guna bersih dan bukan pendapatan isi rumah kasar, sebagai penunjuk kemampuan yang lebih tepat untuk mencerminkan kapasiti perbelanjaan sebenar.
Menurut kenyataan itu, perumahan sosial adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan sokongan daripada kerajaan dan pihak berkepentingan, selain perlu melangkaui persepsi semasa bahawa ia merupakan tanggungjawab pemaju sepenuhnya.
Beliau turut menekankan mengenai kepentingan perkongsian dan penyepaduan data bagi penggubalan dasar yang berkesan yang masih kurang digunakan walaupun terdapat set data yang luas merentasi platform seperti Hab Pangkalan Data Pusat, Jabatan Perangkaan Malaysia dan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara.
Dalam pada itu, bagi menyelesaikan masalah dalam pengurusan data, beliau menyokong penubuhan agensi data berpusat, dengan penganalisis yang mahir dan disokong kerjasama antara kerajaan untuk bertindak sebagai tulang belakang dasar perumahan yang konsisten, boleh dipercayai dan berasaskan data.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


