SHAH ALAM: Pelaksanaan program Insurans Am Selangor (Insan) yang berteraskan kaedah patuh syariah dijangka bermula di negeri ini pada bulan depan, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian serta Industri Kecil dan Sederhana negeri Datuk Teng Chang Khim berkata pelaksanaan itu tertakluk kepada terma dan syarat perjanjian perkhidmatan dengan pembekal perkhidmatan takaful yang dipilih.

"Empat syarikat takaful iaitu Zurich General Takaful Malaysia Bhd, Etiqa General Takaful Bhd, Takaful Iklas General Bhd dan Takaful Malaysia Bhd telah menyertai permohonan sebut harga bagi perkhidmatan takaful tersebut.

Kerajaan negeri juga akan menyediakan pilihan kepada pemohon untuk memilih antara kaedah konvensional atau takaful bagi inisiatif insurans berkenaan," katanya menjawab soalan Syamsul Firdaus Mohamed Supri (PH-Taman Medan) mengenai pelaksanaan Insan dengan mekanisme patuh syariah atau takaful.

Teng turut memaklumkan kerajaan negeri mengambil berat semua pandangan serta cadangan penambahbaikan terhadap program tersebut bagi memastikan agar perlindungan insurans berkenaan dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat di negeri ini.

"Bagaimanapun pelaksanaan program Insan berteraskan patuh syariah itu perlu melalui proses perolehan dan mengambil kira beberapa pertimbangan lain, termasuk peruntukan dana bagi pelaksanaan inisiatif tersebut mengikut kaedah takaful," katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri telah membeli kuota insurans sebanyak enam juta untuk rakyat Selangor yang layak memohon, dan setakat ini menerima 3.58 juta permohonan bagi skim perlindungan kemalangan diri berkenaan.

"Pemohon yang berumur 30 hari selepas kelahiran sehingga 80 tahun layak memohon. Selain itu individu tersebut perlu dilahirkan di Selangor, jika tidak, dia mesti beralamat di Selangor berdasarkan alamat di kad pengenalan," katanya.

Skim insurans percuma dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.



-- BERNAMA