HARI ini dunia menyambut Hari Antirasuah Antarabangsa 2021. Begitu juga di Malaysia. Esok adalah Hari Hak Asasi Manusia. Kedua-duanya mempunyai makna dan signifikan dalam semua aspek ekosistem kehidupan, termasuk dari sudut pilihan raya demokrasi, sama ada dari sudut pengurusan ataupun penyertaan secara aktif oleh setiap warganegara dalam pilihan raya.

Perkembangan kebelakangan ini telah membuktikan betapa penting kita mengambil langkah bagi memastikan persekitaran kita bebas daripada isu rasuah, integriti dan telus dalam bertindak sebagai wakil rakyat, anggota pentadbiran kerajaan dan sudah pasti sebagai calon atau parti politik yang mengambil bahagian dalam gelanggang persaingan.

Dari perspektif Malaysia, politik dan rasuah sering dilihat berkait rapat. Ramai berpandangan bahawa kedua-dua komponen tidak boleh dipisahkan dalam ekosistem politik dan pentadbiran negara. Ada yang mengetengahkan idea bahawa aspek ini masih memerlukan kajian empirikal untuk melihat sejauh mana ia saling berkaitan antara satu sama lain dan boleh ditangani secara holistik.

Tetapi siri kajian kendalian beberapa pihak termasuk Transparency International menunjukkan parti politik dan aktor-aktor dalam politik tidak dapat lari daripada persepsi bahawa mereka yang terlibat dalam politik rasuah dan nilai integriti mereka boleh dipersoalkan. Seolah-olah rasuah dan politik tidak berpisah.

Dari perspektif Malaysia, kita telahpun menyaksikan kes-kes yang terangkum dalam kedua-dua perbuatan rasuah dan amalan tidak berintegriti. Jadi, rakyat ingin melihat parti politik dan ahli politik menjadi contoh kepada amalan berintegriti yang tinggi. Dan, jika menjadi kenyataan, bermakna kita boleh keluar dari isu rasuah dan sebagainya.

Satu keunikan menarik dalam sistem pilihan raya demokrasi adalah kewujudan peluang yang sama rata dan seimbang untuk rakyat bertanding dan pada masa yang sama memilih calon yang disukai mereka manakala calon atau parti yang menang akan ditanggungjawabkan dengan mandat untuk mentadbir selama lima tahun.

Lazimnya, di Malaysia pilihan raya umum akan diadakan dalam tempoh empat hingga empat setengah tahun mandat semasa. Hanya dua pilihan raya umum peringkat nasional yang telah dipanggil ketika di penghujung mandat. Ini termasuklah PRU14 yang berlangsung pada 9 Mei 2018.

Para pemilih yang berdaftar mempunyai hak, peluang dan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat pilihan mereka. Para pengundi harus mengetahui tanggungjawab mereka. Calon dan parti yang bertanding juga mempunyai hak, peluang dan tanggungjawab masing-masing iaitu memastikan pencalonan mereka tidak berhadapan dengan halangan, antaranya ditolak semasa proses penamaan calon. Jika ditolak bermakna mereka akan keciciran peluang untuk bertanding.

Apabila menang wakil rakyat dan parti yang memperoleh mandat mempunyai kuasa untuk membentuk kerajaan, di kedua-dua peringkat persekutuan dan negeri, sekali gus menerajui kerajaan yang dibentuk. Wakil rakyat dan mereka yang menganggotai Kabinet atau barisan Exco mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk menunaikan mandat yang diberikan oleh rakyat.

SPR pula mempunyai tanggungjawab yang besar dalam mengendalikan pengurusan pilihan raya dengan cekap, bebas, adil dan telus serta memastikan penyertaan seramai yang mungkin dalam pilihan raya – sama ada calon yang bertanding mahupun rakyat yang mempunyai hak untuk mengundi. Akhirnya pilihan raya diadakan dengan matlamat untuk memilih sebuah kerajaan yang sah dan sahih untuk mentadbir negara sepanjang tempoh mandat.

Pada keseluruhannya pengurusan pilihan raya di Malaysia telah berjalan dengan baik dan lancar sejak PRU yang pertama pada tahun 1959. Pun begitu, setiap pilihan raya telah menyediakan pengajaran dan maklumat yang amat berguna untuk membawa penambahbaikan berterusan. Sebab itu, undang-undang pilihan raya telah dipinda dan dikemaskinikan beberapa kali sepanjang enam dekad yang lalu, termasuk ketika awal 1990-an, 2002 dan 2013.

Pada Julai 2019 peruntukan undang-undang telah dipinda bagi membolehkan kelayakan mengundi dan menjadi calon diturunkan kepada 18 tahun. Ia juga perubahan yang besar dalam landskap pilihan raya di Malaysia. Berdasarkan pada kehendak dan keperluan semasa, sistem dan undang-undang pilihan raya negara perlu ditambah baik dan amat memerlukan penambahbaikan.

Perkembangan-perkembangan sepanjang tiga tahun yang lalu sejak PRU-14 dengan sendiri telah meletakkan keperluan yang mendesak ke arah itu. Misalnya kuasa bagi SPR menunda atau menangguhkan pilihan raya ketika krisis kesihatan seperti COVID-19 dan bencana alam serta menyediakan gelanggang persaingan atau pertandingan yang lebih adil kepada semua pemegang taruh. Ia memerlukan pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri dan kesemua undang-undang yang berkaitan dengan pilihan raya.

Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) telah mengemukakan 49 syor pada Ogos 2020 bagi membolehkan pilihan raya diuruskan dengan lebih efektif dan adil selaras dengan prinsip pilihan raya demokrasi.

Berbanding tahun 1950-an dan 1960-an, sistem pilihan raya negara sedang bergerak ke arah yang lebih kompleks. Antaranya, kelahiran sistem dua parti. Banyak pakatan parti politik muncul sejak satu dekad yang lalu terutama selepas Mei 2018. Berbanding 30 tahun lalu, bilangan parti yang bertanding juga telah meningkat. Ini satu persekitaran yang sihat.

Begitu juga kewujudan kerajaan-kerajaan campuran berbanding kerajaan yang didominasi oleh satu-satu parti atau pakatan tunggal sebelum tahun 2018. Senario yang disaksikan di kebanyakan negara demokrasi utama sudah mula bertunas di Malaysia. Rakyat sudah mula menyesuaikan dengan persekitaran atau landskap yang baharu.

Setiap pihak yang berkepentingan mula sedar akan peranan dan kedudukan serta hak mereka dalam memastikan amalan demokrasi terus dipertahan dan diperkukuhkan demi kepentingan bersama. Sehubungan dengan itu, pendidikan pilihan raya juga wajar diberi keutamaan bagi menyuburkan lagi amalan demokrasi.

Di sebalik kesedaran itu, pihak-pihak berkepentingan mula mengetengahkan keperluan integriti dan kebertanggungjawab yang perlu ada dalam diri calon dan wakil rakyat yang dipilih. Mereka tidak mahu parti dan wakil rakyat mengkhianati dan membelakangkan mandat yang diberikan oleh pengundi. Perkembangan sejak 2018 menunjukkan bahawa ciri-ciri ini perlu ada pada calon dan wakil rakyat.

Kehendak itu terbukti semasa Pilihan Raya Negeri Melaka bulan lalu. Hampir kesemua parti dan calon yang bertanding mahu aspek itu diperkukuhkan. Ini kerana rakyat sudah muak dan kecewa dengan sikap segelintir wakil rakyat. Parti yang menang juga telah berjanji akan menyedikan undang-undang berkaitan dengan secepat yang mungkin.

Sekiranya sebelum ini ada yang mempertahankan tindakan dan perbuatan melompat parti, kini sudah ada desakan senario seumpama itu perlu dielakkan dengan menggubal perundangan khas. Begitu juga dengan keperluan undang-undang berkaitan dengan sumbangan dan dana politik kepada parti-parti politik, calon yang bertanding.

Pokoknya, kita kini berada dalam persekitaran kedua-dua undang-undang itu perlu disegerakan penggubalan dan pelaksanaan. Banyak kajian dan cadangan telah dikemukakan oleh anggota dewan perundangan, parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan. Parti-parti yang pernah mengatakan sukar untuk dilaksanakan dan tidak perlu dilaksanakan, kini menyahut seruan ke arah itu. Ini menunjukkan situasi sudah berubah, dan kita perlu berubah untuk merealisasikan.

Itu yang disebutkan bahawa kini suara ke arah itu semakin lantang kedengaran. Bermakna keperluan itu sudah diterima dengan baik, dan jika dilaksanakan, kita boleh melahirkan persekitaran politik dan pilihan raya yang bebas rasuah dan berintegriti tinggi.

Semoga kita mengambil iktibar dari sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa dan juga Hari Hak Asasi Manusia  yang akan disambut esok. Kedua-duanya berkait rapat dalam memastikan kita menjadikan proses pilihan raya demokrasi yang lebih bermakna di Malaysia, dan benar-benar bermakna.

Kini masa untuk bertindak merealisasikan kehendak itu. Bukan lagi mengulangi retorik lapuk. Saya yakin parti yang bersedia melaksanakan perkara itu akan mendapat hati dan undi rakyat dalam pilihan raya umum akan datang. Kita berharap ia akan bermula dari Melaka.



* Dr G Manimaran merupakan penulis buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang & Tadbir

** Artikel ini adalah daripada pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI