KUANTAN: Pelaksanaan rangkaian gentian optik dasar laut ke Pulau Tioman, Rompin di bawah inisiatif Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membolehkan semua kampung di pulau itu menikmati kemudahan Internet jalur lebar berkelajuan tinggi.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata pelaksanaan projek itu yang melibatkan rangkaian gentian optik dari Kuala Rompin ke Kampung Tekek di Pulau Tioman sejauh 75.2 kilometer (km) telah siap sepenuhnya pada September 2018 dengan kos pemasangan bernilai RM37.1 juta.

Selain itu, projek gentian optik Kampung Mukut sejauh 8.5 km yang menghubungkan rangkaian gentian optik dari Japamala ke Kampung Mukut melalui Kampung Nipah dan Kampung Sarang Burung dengan kos pelaburan sebanyak RM2.2 juta telah dilaksanakan oleh Telekom Malaysia (TM).

"Projek terbabit yang bermula pada September 2022 telah siap pada Disember 2022 dan kini menjadi pelengkap kepada semua kampung di Pulau Tioman tersedia dengan rangkaian gentian optik.

"Dengan kesedaran serta permintaan yang semakin meningkat, kadar penggunaan gentian optik pada masa ini (adalah) pada tahap 61 peratus penduduk dengan anggaran 466 premis di Pulau Tioman," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Fahmi berkata projek di Kampung Mukut adalah sangat penting kerana ia pelengkap kepada usaha merangkaikan semua kampung di Pulau Tioman dengan rangkaian gentian optik.

"(Projek ini) bukan sahaja merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat malahan juga mampu merancakkan ekonomi digital komuniti dan industri pelancongan Pulau Tioman," katanya.

Fahmi berkata perkembangan terkini pelaksanaan rangkaian gentian optik dasar laut Pulau Tioman yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada lawatan kerja Seri Paduka ke pulau itu pada Ahad lepas.

Taklimat disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi MCMC Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus.

Selain itu, Fahmi berkata sembilan menara komunikasi perkhidmatan mudah alih turut dinaik taraf melalui perkongsian rangkaian melibatkan empat penyedia rangkaian iaitu Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile telah tersedia di semua kampung di pulau itu, kecuali di Kampung Sarang Burung yang dijadual siap pada Mac ini.

Pelaksanaan itu, menurut beliau menjadikan Pulau Tioman sebagai pulau pertama yang mempunyai 100 peratus liputan 4G untuk semua penyedia perkhidmatan mudah alih utama pada akhir suku pertama 2023.

"Harapan saya dengan semua kemudahan infrastruktur yang tersedia ini, penduduk digalakkan untuk mendapatkan pakej langganan perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing bagi menikmati capaian Internet berkualiti dan berkelajuan tinggi," katanya.

-- BERNAMA