Perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) akan diperluaskan kepada 16,000 premis di negeri ini menerusi projek perintis Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) menjelang suku pertama tahun depan.

Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee berkata, infrastruktur HSSB itu bakal dibangunkan untuk 8,200 premis di daerah Alor Gajah, Jasin (2,700 premis) dan Melaka Tengah (4,000 premis) secara berperingkat.

Beliau berkata sebanyak 1,100 premis telah memperoleh kemudahan HSBB menerusi projek perintis NFCP dilaksanakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu di beberapa kawasan di Jasin, dekat sini, sejak setahun lepas.

"Tumpuan bagi fasa pertama perluasan berkenaan akan lebih tertumpu di daerah Alor Gajah dan Jasin selari dengan hasrat kerajaan negeri Melaka untuk memperluaskan lagi liputan internet ke kawasan luar bandar yang mana terdapat permintaan atau keperluan daripada penduduk kawasan itu.

"Kaedah yang digunakan TNB ini adalah salah satu idea atau inisiatif di bawah NFCP dan kita telah menyaksikan Felda Kemendor di Jasin telah menjadi kawasan Felda yang pertama di Malaysia yang dapat menikmati HSSB," katanya pada sidang media di Ayer Keroh, di sini, pada Rabu.

Kerk berkata melalui perluasan itu akan memberi banyak manfaat kepada rakyat terutama golongan belia yang mana kadar celik teknologi maklumat dalam kalangan mereka semakin tinggi kerana kemudahan internet merupakan keperluan untuk kegunaan riadah atau rekreasi.

Katanya, capaian akses internet yang lebih luas dan pantas itu turut memudahkan medium komunikasi selain ia mampu membantu memajukan bidang perniagaan, industri serta memudahkan urusan kehidupan hairan.

Beliau berkata kerajaan negeri Melaka akan sentiasa memberi sokongan kepada TNB secara dasar bagi melaksanakan perluasan pemasangan HSSB dan berterima kasih kerana telah memilih Melaka sebagai negeri pertama bagi pelaksanaan itu selepas projek perintis tersebut.

Pelaksanaan NFCP, yang menggabungkan penggunaan gentian optik dan kesalinghubungan tanpa wayar, menyasarkan pencapaian garis dasar 98 peratus liputan jalur lebar di kawasan berpenghuni menjelang 2023, dengan kelajuan jalur lebar minimum pada kadar 30 Mbps.

-- BERNAMA