Akhbar Wall Street Journal (WSJ) melaporkan bahawa syarikat pelaburan dana negara Abu Dhabi telah saman bank pelaburan terkemuka Goldman Sachs.

International Petroleum Investment Company (IPIC) telah membuat saman sivil terhadap Goldman Sachs pada Rabu di sebuah mahkamah di New York, menuduh Goldman Sachs membenarkan penipuan dan kecurian wang berlaku di 1MDB.

Dalam kes saman ini, wartawan WSJ Bradley Hope melaporkan bahawa kes saman IPIC terhadap Goldman mendakwa bank pelaburan ini memainkan 'peranan penting' dalam usaha untuk mencuri wang dari 1MDB.

Laporan WSJ ini juga menyatakan bahawa Goldman Sachs 'secara tersurat dan tersirat' membenarkan rasuah berlaku di kalangan pegawai mereka untuk membenarkan mereka terus menipu pihak berkuasa dan meneruskan usaha untuk mencuri wang dari 1MDB untuk berterusan.

Kes saman ini menamakan bank Goldman Sachs sebagai defendan. Ia turut menamakan beberapa individu yang berkait rapat dengan skandal 1MDB sebagai defendan.

Kes saman ini walau bagaimanapun tidak menyatakan dengan terperinci berapa wang ringgit yang ingin dituntut oleh IPIC dari Goldman Sachs.

IPIC adalah rakan pelaburan 1MDB. Sehingga bulan Disember 2017, 1MDB telah membayar sekitar RM2.4 bil (AS$610 juta) kepada IPIC sebagai bayaran hutang.

"Goldman Sachs telah bersekongkol dengan beberapa individu untuk membayar rasuah kepada bekas pegawai-pegawai di IPIC dan Aabar" menurut filing mahkamah itu.

Aabar Investments PJS merupakan anak syarikat IPIC.

"Kami kini sedang dalam proses mengenal pasti semua perincian terhadap tuduhan yang dibuat ke atas kami" kata seorang jurucakap Goldman Sachs, melalui sebuah kenyataan.

Tindakan tuntutan saman ini telah mencemarkan nama baik Goldman Sachs, yang juga merupakan rakan perbankan IPIC, dan syarikat berkaitannya, Mubadala Investment Co.

Tuntutan ini juga berkait rapat dengan pertuduhan yang dikenakan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat terhadap bekas ketua Goldman Sachs Asia Tenggara Tim Leissner. Leissner sebelum ini telah mengaku bersalah atas tuduhan mencuri wang dari 1MDB, bersama rakan beliau Jho Low.

Turut didakwa adalah Roger Ng yang telah di tahan oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM). Datuk Seri Amar Singh telah menyatakan bahawa Roger Ng akan diekstradisi ke Amerika Syarikat dalam masa terdekat untuk dihadapkan ke mahkamah di sana. Namun demikian, terdapat laporan bahawa Roger Ng enggan diekstradisi ke Amerika Syarikat.

LIHAT: DOJ diberi masa 60 hari kemuka bukti

Goldman Sachs telah meraih pendapatan sebanyak RM2.4 bil (AS$600 juta) hasil dari pengaturcaraan bon dan sukuk 1MDB pada tahun 2012 dan 2013. WSJ sebelum ini melaporkan bahawa bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya Lloyd Blankfein pernah bertemu dengan Jho Low. Namun demikian, pertemuan ini adalah kerana Blankfein ingin bertemu dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan Jho Low berada di lokasi yang sama dalam pertemuan ini.

Pada tahun 2012 hingga 2014, beberapa pegawai dari IPIC telah memasuki beberapa perjanjian dengan 1MDB untuk melabur di Malaysia. Antara pelaburan bersama yang dibuat oleh kedua pihak ini termasuk pembelian hartanah dan jana kuasa elektrik.

Antara sebab IPIC menuntut kes saman terhadap Goldman Sachs adalah kerana ia 'ingin menjaga nama baik IPIC terhadap isu 1MDB' menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh IPIC.

IPIC turut menamakan bekas pegawai IPIC, Khadem Al Qubaisi dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Aabar Investments Mohamed Badawy Al Husseiny sebagai defendan. IPIC mendakwa bahawa kedua-dua Al Qubaisi dan Al Husseiny telah mengalihkan wang haram dari 1MDB dan telah menerima rasuah dari Goldman Sachs.

Peguam Al Qubaisi, Michael O’Kane berkata "anak guaman saya menolak sebarang pertuduhan terhadap beliau dan telah ditahan secara tidak sah di Emiriah Arab Bersatu selama 26 bulan. Tahanan ini melanggar undang-undang negara itu dan melanggar hak asasi manusia".

O'Kane turut berkata bahawa "anak guaman saya berada dalam keadaan sakit dan keadaan beliau semakin teruk kerana beliau tidak mampu untuk berhubung dengan pihak luar".