KUALA LUMPUR:Semua institusi pengajian tinggi (IPT) di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah diarah tutup mulai esok susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 14 hingga 27 Oktober ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad melalui kenyataan di Twitter beliau pagi ini.

Menurutnya, semua pelajar yang berada di kampus boleh terus kekal di sana sementara kakitangan IPT disarankan bekerja dari rumah (WFH).

"Susulan daripada pelaksanaan PKPB di seluruh Sabah, Selangor, KL dan Putrajaya, semua IPT di empat negeri dan wilayah ini akan ditutup bermula esok. 

"Pelajar yang berada di kampus diminta untuk terus kekal di kampus manakala semua kakitangan di IPT disaran agar terus Bekerja dari Rumah (Work From Home-WFH). 

"Proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) akan terus dilaksanakan atas talian mengikut jadual yang telah ditetapkan,” katanya dalam ciapannya.


Beliau mengulas keputusan kerajaan melaksanakan PKPB selama dua minggu di seluruh Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah seperti diumumkan semalam.

Pada masa sama, Noraini memohon pihak IPT supaya terus menjaga kebajikan pelajar dengan memastikan kafeteria beroperasi dan perkhidmatan pembersihan kawasan kampus dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, 

Jelas beliau, kawalan pintu masuk di kampus juga perlu diperketat bagi memastikan keselamatan dan kesihatan para pelajar dan warga IPT.

“Berhubung dengan peperiksaan antarabangsa yang sedang berlangsung sehingga pertengahan November depan, kementerian sedang meneliti perkara ini,” tambahnya.