KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim menerima penghormatan untuk dipaparkan dalam 100 Tokoh Awam Terbaik Dunia oleh The Contemporary World Press di China.

Penghargaan itu diberikan selari dengan pelantikan Irmohizam iaitu individu pertama di Malaysia sebagai Pengerusi Konvensyen dan Pameran (C&E) Majlis Anggota Penasihat (MAC) World Trade Centers Association (WTCA) yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat.

Menurut Irmohizam, perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Kedua dari Kedutaan Besar China di Malaysia, Zuo Hongsheng dalam kunjungan ke WTCKL baru-baru ini.

"Kami berbicara tentang betapa besarnya penghormatan yang diberikan kepada saya untuk dipaparkan dalam 100 Tokoh Awam Terbaik Dunia oleh The Contemporary World Press di negara China serta peluang menarik untuk saya memberikan forum kepimpinan dan pendidikan Malaysia - China sebagai Profesor Pelawat di Center of Malaysia Scholars, Kolej Perhubungan Antarabangsa, Universiti Huaqiao, Fujian, China.

"Kami juga turut membincangkan kapasiti saya sebagai Pengerusi Konvensyen dan Pameran (C&E) Majlis Anggota Penasihat (MAC) Persatuan Pusat Dagangan Dunia (WTCA) & Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL," katanya dalam satu kenyataan.

Irmohizam dipaparkan dalam 100 Tokoh Awam Terbaik Dunia oleh The Contemporary World Press di China.

Hadir sama dalam kunjungan itu ialah Pengarah Jualan (Persidangan & Pameran WTCKL), Oo Mei Ting.

Dalam pertemuan tersebut, mereka turut menyentuh usaha untuk mengembangkan perkongsian ekonomi perniagaan dalam bidang pertumbuhan baharu seperti acara perniagaan ekonomi, perdagangan serta industri pelancongan.

Dalam masa yang sama, Irmohizam berharap untuk menjalin kolaborasi di masa hadapan memandangkan pembukaan sempadan antarabangsa bakal dilaksanakan pada April ini.