Skip to main content

Dunia

Trump dakwa perang Iran dibiayai hingga Januari, gesa Demokrat tidak hentikan operasi

Menurut Trump, cubaan Parti Demokrat untuk menghentikan konflik itu boleh mengubah "kemenangan mutlak" menjadi "kekalahan". - Foto fail/REUTERS
Menurut Trump, cubaan Parti Demokrat untuk menghentikan konflik itu boleh mengubah "kemenangan mutlak" menjadi "kekalahan". - Foto fail/REUTERS

Ringkasan AI

  • Presiden AS, Donald Trump, menyatakan operasi ketenteraan terhadap Iran mempunyai pembiayaan mencukupi hingga Januari dan memberi amaran terhadap campur tangan Demokrat.
  • Trump mengakui pilihan ketenteraan mungkin terhad apabila Demokrat mengambil alih Kongres, namun berharap perang tidak ditamatkan terlalu awal.
  • Trump menegaskan objektif utama pentadbirannya ialah menghalang Iran memiliki senjata nuklear, bukan perubahan rejim.
Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata operasi ketenteraan negaranya terhadap Iran mempunyai pembiayaan yang mencukupi sehingga Januari depan dan memberi amaran bahawa cubaan Parti Demokrat untuk menghentikan konflik itu boleh mengubah "kemenangan mutlak" menjadi "kekalahan".

Dalam wawancara dengan akhbar New York Post, Trump mengakui pilihan ketenteraannya mungkin menjadi lebih terhad apabila Demokrat mengambil alih kawalan Kongres pada Januari.

Beliau bagaimanapun berharap parti pembangkang itu tidak akan memaksa penamatan perang yang disifatkannya sebagai terlalu awal.

Advertisement

"Mereka akan mengambil kemenangan mutlak dan menjadikannya kekalahan. Tentera laut mereka sudah musnah, tentera udara mereka sudah musnah, sistem pertahanan udara mereka juga sudah musnah. Kepimpinan mereka juga sudah tiada," kata Trump.

Menurut beliau, AS berada dalam kedudukan yang membolehkan konflik itu ditamatkan pada bila-bila masa yang dikehendaki.

Advertisement

Ketika ditanya sama ada beliau bimbang kekurangan masa untuk melancarkan serangan secara bebas sebelum perubahan kawalan Kongres, Trump berkata pembiayaan bagi operasi ketenteraan itu dijangka mencukupi sehingga penghujung Januari.

Dalam wawancara sama, Trump turut mengulas mengenai matlamat Israel terhadap Iran dengan menyatakan bahawa usaha untuk menamatkan pemerintahan Republik Islam itu "mungkin boleh dilakukan".

Namun, beliau menegaskan perubahan rejim bukanlah objektif utama pentadbirannya.

"Saya hanya tidak mahu mereka memiliki senjata nuklear. Saya tidak pernah menyokong atau menentang perubahan rejim, itu bukan kriteria bagi saya," katanya.

Kenyataan Trump dibuat ketika konflik antara AS, Israel dan Iran terus menjadi tumpuan antarabangsa, dengan perdebatan semakin memuncak mengenai tempoh serta hala tuju operasi ketenteraan di rantau Asia Barat itu.

 

 

Must Watch Video

Advertisement