Bekas Pengerusi Felda Global Ventures, Tan Sri Mohd Isa Samad dikenakan perintah tahan reman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel oleh Felda Investment Corp Sdn Bhd (FIC).

Perintah reman dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya Datuk Zainal Abidin Kamaruddin

Beliau direman bagi siasatan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM kerana dipercayai salah guna kedudukan berhubung pembelian hotel di London pada 2014 hingga 2015.

Permohonan reman dibuat Timbalan Pendakwaraya SPRM, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman.

Mohd Isa diwakili enam peguam yang diketuai oleh Datuk K.Kumaraendran.


Terdahulu, Mohd Isa tiba di pekarangan Mahkamah Putrajaya pada jam 9.08 pagi diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan memakai pakaian Lokap SPRM dan bergari.

Ketika keluar dari kereta, beliau sempat mengukir senyuman kepada isteri, ahli keluarga serta penyokong yang menunggu sejak jam 8 pagi.


Sepanjang prosiding berlangsung isterinya, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid kelihatan sayu dan mengalirkan air mata sambil ditenangkan ahli keluarga.

SPRM pada Selasa menahan Mohd Isa bagi membantu siasatan berhubung pembelian dua buah hotel mewah oleh anak syarikat Felda tersebut.

Dia ditahan selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya pada 2.40 petang semalam.

Rumah Mohd Isa turut diserbu pegawai penyiasat susulan penahanannya.