KUALA LUMPUR : Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO (MKT), Isham Jalil mengesahkan telah membuat laporan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang turut memohon agar notis pengisytiharan harta dikeluarkan terhadap Farhash Wafa Salvador.

Permohonan itu dibuat terhadap SPRM kepada Farhash susulan kes berkaitan pembelian saham syarikat HeiTech Padu membabitkan kontrak kerajaan bernilai RM1 bilion.

Dalam laporan yang dibuat pada pagi Khamis, Isham meminta SPRM mengeluarkan notis pengisytiharan harta terhadap Farhash Wafa Salvador mengikut perkara 36(1)(a) Akta SPRM 2009.

"Saya baru keluar dari Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan telah membuat laporan SPRM petang ini selepas laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pagi ini berkenaan kes Farhash Wafa Salvador dan pembelian saham syarikat HeiTech Padu berkaitan kontrak kerajaan bernilai RM1 billion.

"Dalam laporan SPRM tersebut saya juga telah meminta supaya SPRM mengeluarkan notis pengisytiharan harta terhadap Farhash Wafa Salvador mengikut perkara 36(1)(a) Akta SPRM 2009," kata Isham menerusi posting di Facebook.

Beliau mengharapkan dengan laporan itu, pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPRM dan Suruhanjaya Sekuriti memulakan siasatan untuk menegakkan undang-undang.

Terdahulu, Isham menerusi kenyataan dalam laporan polis menyebut bahawa telah membaca portal-portal akbar dan digital berhubung bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador melalui syarikat pelaburan Rosetta Partners Sdn. Bhd. telah membeli saham berjumlah sebanyak 16.1 juta unit (anggaran nilai lebih kurang RM40 juta) Heitech Padu iaitu syarikat yang disenaraipendek untuk kontrak kerajaan bernilai RM1 billion.

Ujarnya lagi, siasatan perlu dijalankan disebabkan projek berkaitan menggunakan dana kerajaan atau dana awam yang besar.

kes berkaitan pembelian saham syarikat Heitech Padu membabitkan kontrak kerajaan bernilai RM1 bilion.

Sementara itu Farhash dalam kenyataannya sebelum ini menjelaskan bahawa pegangan saham yang beliau miliki dalam HeiTech Padu Bhd melalui syarikat Rosetta Partners Sdn Bhd adalah milikkan bersama Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Untuk rekod ujarnya, Rosetta Partners Sdn Bhd adalah milikan penuh syarikat Mfivesouthsea Sdn Bhd yang mana ia dimiliki secara bersama oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V dan beliau dan bukannya milik persendirian seperti yang didakwa.

Tambahnya, pemilikan saham itu juga merupakan sebahagian daripada strategi pelaburan bersama antara Sultan Muhammad V dengannya untuk membantu syarikat-syarikat Bumiputera.

BACA: 'Pegangan saham dalam HeiTech Padu milikan bersama Sultan Kelantan'

Berikut adalah kenyataan penuh Farhash:

Saya merujuk kepada beberapa artikel di portal-portal berita terkait pemilikan pegangan saham HeiTech Padu Bhd yang telah tular di media sosial baru-baru ini.

Saya ingin jelaskan bahawa pegangan saham yang saya miliki dalam HeiTech Padu Bhd melalui syarikat Rosetta Partners Sdn Bhd adalah milikkan bersama Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V.

Untuk rekod Rosetta Partners Sdn Bhd adalah milikan penuh syarikat Mfivesouthsea Sdn Bhd yang mana ia dimiliki secara bersama oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V dan saya, bukannya milikan saya sendiri seperti yang didakwa segelintir Ahli-Ahli Parlimen pembangkang.

Pemilikan saham ini juga merupakan sebahagian daripada strategi pelaburan antara Sultan Muhammad V dan saya untuk membantu syarikat-syarikat Bumiputera.

Saya juga ingin menjelaskan bahawa saya tidak sesekali terlibat dengan mana-mana bahagian pentadbiran kerajaan dan aktiviti politik. Fokus penuh saya ketika ini adalah pada bidang peniagaan dan korporat.

Tujuan kenyataan saya ini adalah untuk menyangkal dan menjawab pelbagai tohmahan mengenai saya terutamanya tohmahan-tohmahan yang telah dilemparkan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas.

Sekian, terima kasih.

FARHASH WAFA SALVADOR