Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mendakwa pendiriannya berhubung kedudukan orang bukan Melayu di negara ini sebagai pandangan politik yang mewakili majoriti suara orang Melayu.

Presiden ISMA, Abdullah Zaik Abdul Rahman menolak tanggapan bahawa kenyataannya itu bertujuan untuk menghasut sebaliknya seruan penting supaya masyarakat di negara ini tidak melupakan sejarah.

Kata beliau, kenyataannya itu adalah peringatan kepada pemimpin Cina supaya tidak mencampuri urusan menentukan masa depan Islam di negara ini dan juga peringatan kepada orang Melayu supaya mempertahankan hak dan membetulkan kesilapan lalu.

"Ini adalah pandangan politik yang mewakili majoriti orang Melayu dan Islam di negara ini yang disuarakan dalam kerangka kebebasan bersuara dan kepelbagaian pandangan politik di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan media.

Abdullah Zaik berpendapat reaksi negatif orang bukan Islam, Cina dan India terhadap kenyataannya itu adalah "kerana ingin menutup mulut orang Melayu dan Islam.

"Mereka bimbang ia akan menjejaskan hasrat mereka untuk merubah identiti negara, menghapuskan hak Melayu, kedaulatan Melayu dan agama Islam," katanya.

Presiden ISMA itu pada 6 Mei lalu membuat kenyataan menyifatkan kedatangan pendatang Cina ke Tanah Melayu bersama penjajah British suatu ketika dahulu adalah satu bentuk pencerobohan.
“Orang Cina datang ke negara ini bersama penjajah British sebagai penceroboh.

“Siapa yang bagi mereka hak kerakyatan dan kekayaan sehingga hasil pencerobohan mereka dilindungi sampai hari ini?

“Itu semua perbuatan British yang bersekongkol dengan Cina menindas dan membuli orang Melayu,” katanya.

Beliau menyifatkan sejarah itu sebagai "satu kesilapan orang Melayu terdahulu yang harus diperbetulkan."

Kenyataan itu dibuat dalam konteks mengulas reaksi orang bukan Islam terhadap hasrat kerajaan negeri Kelantan mahu melaksanakan undang-undang jenayah syariah hudud dan qisas yang tertangguh sejak kelulusan Enakmen Jenayah Syariah 2 1993.

Kenyataan itu kemudiannya dibidas keras oleh MCA dan DAP yang membuat laporan polis. Pengarah Strategi MIC, S. Vell Paari pula mengumpamakan sebutan ISMA sebagai penyakit kelamin dan menyifatkan NGO itu sebagai badut yang tidak menghiburkan. Kenyataan pemimpin MIC itu dibidas oleh ISMA sebagai "celupar".

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar kemudian memaklumkan bahawa polis akan menyiasat Abdullah Zaik di bawah Akta Hasutan 1948.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Abdullah Zaik sekali lagi menegaskan pendirian politik ISMA yang digariskan seperti berikut:

1. Malaysia adalah Tanah Melayu dan bangsa Melayu hendaklah kekal sebagai bangsa yang berdaulat di Tanah Melayu selamanya.
2. Islam hendaklah kekal sebagai identiti negara Malaysia sebagai agama negara seperti yang termaktub di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, yang menyebut “Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.”
3. Orang Melayu dan Islam di Malaysia mempunyai hak untuk menyatakan kehendak mereka dan menentukan rupa bangsa serta masa depan negara tanpa boleh dibantah oleh mana-mana kaum pendatang di negara ini.
4. Selari dengan prinsip keadilan, pihak-pihak bangsa pendatang hendaklah menerima kedudukan istimewa bangsa Melayu dan Bumiputera di negara ini sebagai bangsa yang berdaulat.
5. Apa yang telah diperuntukkan oleh perlembagaan dan jaminan-jaminan yang diberikan oleh orang Melayu dan Bumiputera kepada bukan Melayu sudah lebih daripada mencukupi.
6. Tindakan bukan Melayu menuntut lebih daripada apa yang telah dipersetujui secara konsisten dan mencabar Islam dan hak-hak keistimewaan Melayu adalah satu perkara yang dianggap ingin menggugat kedudukan Islam dan kedaulatan bangsa Melayu dan membelakangi kontrak sosial yang telah dipersetujui.
7. Penglibatan bukan Islam dalam politik sehingga mencampuri urusan bangsa Melayu dan Islam dan menidakkan hak mutlak bangsa Melayu dalam menentukan masa depan negara adalah keterlaluan dan suatu yang perlu diperbetulkan.