KOTA KINABALU:Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Timbalan Ketua Menteri II Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan akan menerima darjah kebesaran tertinggi Sabah, sempena Hari Jadi Rasmi Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin, hari ini.

Turut menerima darjah Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong.

Istana Negeri Sabah menerusi satu kenyataan memaklumkan mereka adalah antara 679 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sabah sempena Hari Jadi Rasmi Ke-67 Yang Dipertua Negeri Sabah.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman pula antara 33 dianugerahkan darjah kedua tertinggi negeri, Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk.

Turut menerima PGDK ialah Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Samsuni Mohd Nor, Peguam Besar Sabah Brenndon Keith Soh, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali serta legenda bolasepak Sabah mendiang Peter Rajah.

Penerima PGDK yang lain ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Dr Mistirine Radin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong Julita Majungki, ADUN Bingkor Robert Tawik, Ketua Bahagian Bersatu Sipitang Matbali Musah, Ketua Wanita UMNO Beaufort Siti Aminah Aching dan Pengarah Urusan Kumpulan Suria Capital Ng Kiat Min.

Turut menerima PGDK ialah Amir@ Amir Shah Yaakub, Chee Chi Nyen, Daud Sedek @ Mohd Daud, Gan En Siong @ Fredian Gan, Guan Dee Bin Koh Hoi, Jamal Norubit @ Jamal Nerubi, Khoo Thau Yong, Lo Vun Che @ Jessica, M.Yahya Dunggi, Marahan @ Omarkhan Amirusin dan Mariam Omar.

Penerima lain ialah Mariana Tinggal, Matthew Tan Yaw Tzuu, Dr Mohaizi Mohamad, Mohammed Sahid Nawab Khan, Naim Ahmat, Ng Siew Chon, Raymond Sze To Mei Thong, Soon Ket Woon, Tang Yong Siang, Tay Seng Chai dan Umar Sarim Saidin.

Sementara itu, Panglima Briged Ke-5 Brig Jen Zambery @ Jefry Darus dan Panglima Briged Ke-13 Brig Jen Abdul Razak Hussain merupakan antara 65 penerima Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK).

Seramai 94 orang dianugerahkan Ahli Darjah Kinabalu (ADK), 156 orang menerima Bintang Setia Kinabalu (BSK), 183 penerima Bintang Kinabalu (BK) manakala Sijil Kehormat (CH) menyaksikan 133 penerima.

Sementara itu, Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai, ADUN Kawang Ghulam Haidar Khan Bahadar serta Datuk Bandar Kota Kinabalu Nordin Siman merupakan antara 11 penerima Jaksa Pendamai (JP).

-- BERNAMA