KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai menerima suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Hospital Angkatan Tentera (HAT)Tuanku Mizan, Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Beliau menerima suntikan dos pertama vaksin berkenaan sekitar pukul 9.30 pagi oleh vaksinator Koperal Siti Maliah Sheikh Alwi.

Ismail Sabri yang tiba sekitar pukul 9.09 pagi melalui lima stesen untuk menjalani proses vaksinasi tersebut.

Ia termasuk melalui saringan gejala dan suhu dan stesen pemerhatian selepas diberikan suntikan vaksin COVID-19.

Turut menerima suntikan pada hari ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha, Datuk Seri Muez Abd Aziz.

Program Imunisasi | Ismail Sabri, pegawai tertinggi ATM selesai suntikan vaksin COVID-19

Selain itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Affendi Buang;  Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain; Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany; serta Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

Dijangka sebanyak 162 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menerima suntikan vaksin, hari ini.

Seramai 42,120 anggota ATM di seluruh negara akan menerima suntikan vaksin COVID-19 pada fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.