Kenderaan yang membawa Ahli Parlimen Bera itu tiba di Bukit Aman kira-kira jam 2.35 petang,hari ini.
Turut kelihatan memasuki Ibu Pejabat Polis Persekutuan itu adalah beberapa individu lain dengan menaiki dua kenderaan berasingan.
Sebelum ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, keterangan diambil untuk membantu siasatan ke atas kenyataannya di laman Facebook yang didakwa berunsur perkauman.
Jelasnya, selain Ismail Sabri, beberapa individu lain akan turut dipanggil berhubung kes berkenaan.
Individu-individu yang bakal dipanggil termasuk dari Parti MCA, Gerakan dan DAP yang dipercayai mengeluarkan kenyataan balas terhadap kenyataan menteri tersebut.
Kenderaan yang dinaiki Ismail Sabri untuk ke Ibu Pejabat Polis Persekutuan awal petang tadi. - Gambar paparan skrin
Sementara itu, pihak polis sudah membuka kertas siasatan berhubung ugutan bunuh yang diterima menteri berkenaan.Kes itu disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Ismail Sabri baru-baru ini, mencetuskan kontroversi apabila membuat kenyataan di laman Facebook menggesa orang ramai terutama orang Melayu sebagai majoriti penduduk negara ini menggunakan kuasa mereka sebagai konsumer memboikot peniaga yang menaikkan harga barang secara tidak munasabah.
Ia kemudian dianggap sebagai perkauman kerana menyentuh golongan peniaga keturunan Cina sebagai sasaran.