GAZA: Tentera Israel melancarkan satu lagi serangan udara pada Isnin di Semenanjung Gaza dengan membedil terowong dan rumah milik komander Hamas.

Serangan terbaharu itu turut memusnahkan bangunan lima tingkat yang menempatkan Kementerian Hal Ehwal Agama yang dikendalikan Hamas, bangunan yang didakwa Israel menempatkan pusat operasi utama pasukan keselamatan dalaman Hamas.

Israel juga mendakwa telah membunuh pemimpin tertinggi Islam di Gaza dan serangannya memusnahkan terowong sepanjang 15 kilometer yang digunakan oleh Hamas.

Sekurang-kurangnya 200 warga Palestin terbunuh dalam minggu serangan udara, termasuk 59 kanak-kanak dan 35 wanita, dengan sekitar 1,300 orang cedera, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Di pihak Israel, 10 maut termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dan seorang tentera dalam satu serangan yang dilancarkan dari kawasan awam Gaza kepada kawasan awam Israel.

Perang meletus pada 10 Mei, ketika Hamas menembakkan roket jarak jauh ke Jerusalem setelah beberapa minggu pertempuran berlaku di Gaza antara penunjuk perasaan Palestin dan polis Israel.

Sejak pertempuran bermula, tentera Israel telah melancarkan ratusan serangan udara yang dikatakan mensasarkan infrastruktur Hamas.