WASHINGTON: Seorang wanita, Young Sook An ditikam dan ditanam di dalam kubur di sebuah hutan oleh suaminya di Washington, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Sook An bagaimanapun berjaya menggali sendiri kuburnya itu yang tidak dalam, sebelum mencari bantuan untuk menyelamatkan diri.

Kejadian itu berlaku selepas suaminya, Chae Kyong An, 53, yang tidak tinggal bersama wanita itu singgah untuk mencuci pakaian di rumah mereka.

Menurut anak perempuan pasangan tersebut, si suami telah menyerang isterinya di rumah kira-kira jam 1 petang pada 16 Oktober lalu.

Suaminya itu mengikut Sook An ke bilik tidur tempat dia pergi untuk menukar pakaian sebelum menyerangnya.

Dia yang merupakan bekas anggota tentera kemudian menumbuk isterinya dan mengikat tangan serta menutup matanya dengan pita pelekat.

Namun, Sook An dapat menghubungi talian kecemasan 911 dengan jam tangan Applenya dan menghantar pemberitahuan kepada anak perempuan serta kawan baiknya.

Dia kemudian diseret oleh suaminya ke sebuah garaj dan jam tangan itu dipecahkan dengan menggunakan tukul.

Wanita tersebut kemudiannya dimasukkan ke dalam sebuah van dan dibawa ke suatu tempat di mana dia dapat mendengar suaminya mengorek tanah.

Kyong An turut menikam dada Sook An dan meletakkannya di dalam lubang manakala sepohon pokok diletakkan di atas kuburnya.

Bagaimanapun, selepas ditanam, dia dapat mendengar suaminya berjalan di sekeliling lubang.

Selepas itu, dia menggali bagi membolehkannya keluar dari kubur tersebut serta berjaya menanggalkan pita pelekat pada badannya sekali gus mendapatkan bantuan.

Suaminya itu kemudian berjaya ditangkap pihak berkuasa dan didakwa melakukan percubaan membunuh.

Mereka bergaduh disebabkan masalah wang pencen suaminya itu. -Sinar Harian/Agensi