BEAUFORT: Datin Seri Normilah Siong merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak atas iringan doa kepada beliau dan keluarga susulan pemergian suaminya Allahyarham Datuk Seri Lajim Ukin hari ini.

Beliau dalam kenyataan ringkas turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas kesihatan yang terlibat termasuk pihak Hospital KPJ Kota Kinabalu iaitu tempat Allahyarham mendapatkan rawatan sebelum ini.

Jenazah bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu selamat dikebumikan pada jam 1.50 tengah hari di Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Kebatu, Beaufort, dekat sini hari ini.

Lajim, 66, yang juga Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 di Hospital Pakar KPJ Kota Kinabalu pada jam 6.23 pagi tadi.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Isnin Aliasnih yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias, berkata penduduk kawasan Klias berasa kehilangan dengan pemergian Allahyarham yang juga bekas ADUN kawasan itu.

"Allahyarham sehingga ke akhir hayatnya menjalankan kerja untuk rakyat dan hari ini kita dapat lihat sendiri kesedihan rakyat atas pemergian beliau...saya mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang mendoakan Allahyarham," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tanah perkuburan tersebut.

Isnin turut memohon kepada semua pihak supaya mendoakan Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.

Bekas Setiausaha Akhbar kepada Allahyarham, Jaafar Wahid menyifatkan Lajim seorang tokoh dan pemimpin yang mesra serta prihatin terhadap rakyat, selain amat disenangi masyarakat di peringkat akar umbi di negeri itu.

Beliau berkata pemergian Allahyarham amat mengejutkan dan sudah pasti rakyat khususnya di kawasan Klias dan Beaufort serta rakan-rakan politiknya akan merindui beliau.

-- BERNAMA