Skip to main content

Dunia

Iran kecualikan kapal India, China, Iraq, Qatar daripada sekatan transit Selat Hormuz

Pengecualian itu mencerminkan kepentingan bersama antara Iran dengan negara terbabit. - Foto fail/REUTERS
Pengecualian itu mencerminkan kepentingan bersama antara Iran dengan negara terbabit. - Foto fail/REUTERS
Advertisement

ISTANBUL: Iran mengecualikan kapal dari India, China, Iraq dan Qatar daripada sekatan transit di Selat Hormuz, menurut seorang ahli parlimen kanan Iran pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen Iran, Amir Hayat Moqaddam memberitahu Iranian Students' News Agency (ISNA) bahawa kapal dari empat negara itu dibenarkan melalui laluan air strategik berkenaan.

"Kami pada masa ini mengecualikan India, China, Iraq dan Qatar daripada sekatan transit di Selat Hormuz. Kapal dari negara berkenaan boleh melalui selat itu dengan bebas dan pihak Amerika Syarikat (AS) juga tidak memintasnya," katanya.

Advertisement

Hayat Moqaddam berkata pengecualian itu mencerminkan kepentingan bersama antara Iran dengan negara terbabit.

Beliau berkata Tehran memudahkan laluan kapal India bagi membolehkan Iran mengimport ubat-ubatan dari negara itu.

Advertisement

Pengecualian bagi kapal China pula bertujuan mendapatkan sokongan politik Beijing, tambahnya.

Hayat Moqaddam berkata Iran mengenakan yuran transit ke atas kapal India dan China, namun membenarkan kapal Qatar melalui selat itu tanpa sebarang bayaran.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada kapal Iraq turut dikenakan yuran transit.

Selat Hormuz yang terletak di antara Iran dengan Oman merupakan antara laluan perkapalan terpenting dunia, dengan sejumlah besar minyak dan gas dari negara-negara Teluk diangkut melalui selat itu ke pasaran antarabangsa.

AS dan Israel melancarkan perang terhadap Iran pada 28 Feb 2026.

Gencatan senjata dicapai pada April, namun pertempuran antara Washington dengan Tehran bersambung semula pada Julai apabila usaha diplomatik untuk menamatkan konflik itu tergendala.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement