SUNGAI PETANI: Seorang lelaki warga emas tidak sedar kereta yang dihidupkan masih dalam keadaan bergear, menyebabkan kenderaan tersebut terlanggar isterinya yang berada di hadapan.

Dalam kejadian di Kampung Bukit Tukang Jusoh itu, mangsa Saadiah Saad, 69, maut di tempat kejadian selepas terperosok di bawah kereta berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata dalam kejadian jam 3.10 petang itu mangsa bersama suaminya berusia 76 tahun baru selesai menghadiri majlis kenduri kahwin di kampung itu.

“Siasatan awal polis mendapati suami mangsa baru menghidupkan enjin kereta jenis Proton Iswara Aeroback dan tidak menyedari kenderaan itu masih dalam keadaan 'bergear', menggelongsor lalu melanggar mangsa yang ketika itu berada di hadapan kereta.

“Akibat pelanggaran itu mangsa terperosok di bawah kereta dan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) bedah siasat.

Kes disiasat kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.