MALAYSIA
Isteri teruskan semangat patriotik arwah suami, legasi kibar Jalur Gemilang

Tuan Yah Tuan Yeh menghias kawasan rumah dengan bendera Jalur Gemilang setiap kali sempena sambutan Hari Kebangsaan yang disambut pada tanggal 31 Ogos di Kampung Kubang Bongor, Melor. - Gambar Bernama
KOTA BHARU: Bagi kebanyakan orang, Jalur Gemilang yang dikibar menjelang Ogos setiap tahun, melambangkan rasa cinta akan tanah air, namun bagi seorang warga emas setiap bendera yang dipacak dan dikibar di sekeliling rumahnya membawa erti yang jauh lebih mendalam untuk dirinya.
Bagi Tuan Yah Tuan Yeh, 66, helaian kain berwarna merah, putih, biru dan kuning yang berkibar megah itu bukan hanya menzahirkan rasa bangganya menjadi anak Malaysia, tetapi juga simbol perjuangan dan pengorbanan arwah suaminya, Zahari Abdullah yang pernah menjadi benteng pertahanan negara daripada ancaman komunis suatu ketika dahulu.
Beliau berkata lebih sedekad, setiap kali Bulan Kebangsaan, arwah suaminya yang pernah berkhidmat 13 tahun sebagai anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), antara insan paling sibuk di Kampung Kubang Bongor, Melor mencari batang buluh mahupun kayu untuk dijadikan tiang bagi mengibar Jalur Gemilang.
"Setiap tahun sebelum 31 Ogos, arwah akan mula menghias rumah, sawah serta kebun dengan Jalur Gemilang. Malah, kain rentang bertemakan kemerdekaan turut digantung hingga 16 Sept untuk menyemarakkan suasana meriah di kampung."Biarpun terpaksa mengeluarkan wang poket sendiri kira-kira RM600 untuk membeli lebih 500 Jalur Gemilang pelbagai saiz untuk dipacak di kebun, sawah padi serta kawasan rumah, namun arwah tidak pernah berkira.
"Tiga tahun lepas, arwah turut menghasilkan replika meriam dan wau bulan daripada bahan kitar semula, dihias dengan Jalur Gemilang dan diletakkan di tepi sawah dan kandang ternakan puyuh, semata-mata demi menghidupkan roh kemerdekaan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di kampung itu baru-baru ini.
Bagaimanapun, sejak tahun lepas kehadiran Ogos tidak lagi sama seperti tahun-tahun sebelumnya sejak suami meninggal dunia akibat terjatuh di rumah.
Enggan semangat patriotik berkenaan terkubur bersama arwah suaminya, tahun ini Tuan Yah yang juga bekas jururawat di Klinik 1Malaysia Jelawat, Bachok mengambil tanggungjawab untuk terus menyemarakkan semangat patriotik di kampung itu.
Dibantu dengan anak-anak dan jiran tetangga, ibu kepada kepada empat cahaya mata dan lima cucu itu, memacak Jalur Gemilang di sepanjang lorong masuk serta halaman rumahnya, untuk menghidupkan kenangan bersama arwah suaminya, selain tanda cinta yang tidak pernah pudar terhadap negara.
"Orang kampung selalu bertanya mengapa saya masih pasang banyak Jalur Gemilang walaupun suami sudah tiada.
"Dari situ saya ceritakan kisah perjuangan arwah dan rakan seperjuangannya dalam ATM sekali gus menyedarkan mereka bahawa kemerdekaan yang dinikmati kini adalah hasil daripada keringat, air mata dan pengorbanan pasukan keselamatan yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan kedaulatan negara," katanya.
Bagi Tuan Yah, Jalur Gemilang bukan hanya mengingatkan kepada perjuangan arwah suami, tetapi juga menjadi simbol penyatuan dan inspirasi buat penduduk kampung yang kini turut bersama-sama mengibarkan lambang kedaulatan negara itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami