KUALA LUMPUR: Isteri bekas Menteri Kewangan Tun Dr Daim Zainuddin iaitu Toh Puan Na'imah Abdul Khalid dilihat tiba di pekarangan Mahkamah Sesyen Jenayah di sini pada 9 jam 8.30 pagi ini.

Na'imah dijangka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana gagal mengisytiharkan harta.

Na'imah yang berpakaian baju kurung berwarna hijau itu dilihat hadir diiringi bersama seorang lelaki yang dipercayai merupakan peguamnya untuk menghadapi pertuduhan tersebut.

Na'imah juga dilihat melambaikan tangannya kepada petugas-petugas media sebelum masuk ke lobi mahkamah.

Pada Disember, SPRM merampas Menara Ilham milik keluarga itu sebagai sebahagian daripada siasatannya.

Menurut SPRM, siasatan terhadap Tun Daim adalah berdasarkan undang-undang dan maklumat sedia ada daripada Kertas Pandora.

Pada 10 Januari, Tun Daim dan keluarganya memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman siasatan SPRM terhadap mereka.

Kertas Pandora merupakan himpunan 11.9 juta dokumen yang dikumpul oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (International Consortium of Investigative Journalists, ICIJ) yang mengandungi maklumat perbankan, cukai dan maklumat hartanah membabitkan pemimpin-pemimpin dunia, jutawan, ahli perniagaan dan selebriti. - Sinar Harian