Isteri VVIP tak beli berlian merah jambu

Sinar Harian
April 8, 2019 14:12 MYT
Amiruddin berkata, berlian merah jambu tersebut sudah dibawa semula keluar dari Malaysia oleh ejen. - Gambar fail
Tiada sebarang pembelian berlian merah jambu daripada isteri VVIP di negara ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, ejen jualan yang membawa masuk berlian merah jambu dan barang kemas lain ke Malaysia untuk isteri seorang VVIP telah mengisytiharkan barangan berharga berkenaan dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
“Bagi kes berprofil tinggi ini, saya ingat telah dijawab oleh Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) pada tahun lepas bahawa dia (berlian merah jambu) dibawa masuk oleh ejen.
“Ya, ejen dah ikrar bawa masuk, kemudian ada pengikraran benda yang sama bawa keluar,” katanya ketika ucapan perbahasannya ketika menggulung peringkat dasar Rang Undang-undang Kastam (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat hari ini.
BACA: SPRM siasat semua kes termasuk cincin Rosmah - Abu Kassim
Hal demikian, Ahli Parlimen Kubang Pasu itu menjelaskan bahawa tidak berlaku pembelian terhadap berlian merah jambu tersebut.
“Jadi tidak berlaku pembelian (oleh isteri VVIP itu), berlian merah jambu sudah dibawa balik oleh ejen ini.
“Tapi saya ingat sempat kita semua tengok berlian merah jambu semua itu, tapi ia sudah dibawa balik (keluar dari Malaysia),” jelasnya.
BACA: Rosmah nafi beli barang kemas daripada syarikat Lubnan
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang menyoal sama ada jika sebarang borang Jabatan Kastam telah diisi dan cukai atau duti kastam dibayar berhubung lebih 40 unit barangan kemas yang melibatkan isteri seorang VVIP yang juga seorang Ahli Parlimen.
#Amiruddin Hamzah #berlian #berlian merah jambu #cincin #cukai #Dewan Rakyat #ejen #isteri VVIP #isytihar #Jabatan Kastam #kastam #kes berprofil tinggi #Lim Guan Eng #Parlimen #undang-undang #Wong Hon Wai