Istiadat pertukaran pengawal Istana Negara kekal simbol kedaulatan, tarikan pelancongan

Upacara penuh tradisi itu melibatkan pasukan daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Skuadron Istiadat Berkuda, diiringi Pancaragam Pusat RAMD serta 25 anggota Brass Band 1 RAMD. - Gambar Astro AWANI/ ABDUL WAFI NORAZMI
KUALA LUMPUR: Istiadat Pertukaran Pengawal Istana Negara berlangsung dengan penuh adat istiadat ketenteraan di Dataran Pintu Masuk Utama Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini hari ini.
Upacara penuh tradisi itu melibatkan pasukan daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Skuadron Istiadat Berkuda, diiringi Pancaragam Pusat RAMD serta 25 anggota Brass Band 1 RAMD.
Istiadat bermula seawal 8.30 pagi dengan perbarisan keluar anggota pengawal lama dari dalam pekarangan istana yang mengambil kedudukan di hadapan pintu utama dan kemudian disertai anggota pengawal baharu yang mengambil kedudukan berhadapan mereka pada jam 8.45 secara rasmi bermula jam 9.30 pagi.
Dalam pada itu, seramai sembilan pegawai dan 164 anggota lain-lain pangkat mengambil bahagian dalam istiadat tersebut.
Selain istiadat yang berlangsung, apa yang turut mencuri perhatian ialah kehadiran ratusan pengunjung dan pelancong yang mula memenuhi kawasan dataran pintu masuk utama Istana Negara sejak 7 pagi kerana tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan detik penuh protokol ini.
Istiadat Pertukaran Pengawal mula dilaksanakan pada 1959 dan pada 1994 diperkenankan untuk disaksikan orang awam di Istana Negara, Jalan Istana.
Pada 2012, pelaksanaannya dipindahkan ke Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim dan dilaksanakan sepenuhnya oleh RAMD.
Sejarah istiadat ini mencatat detik penting pada 2015 apabila penyertaan Skuadron Istiadat Berkuda diperkenankan buat pertama kali, menjadikan acara ini lebih megah dan berprestij.
Pegawai Tabik Hormat bagi istiadat hari ini ialah Pegawai Memerintah Batalion Pertama RAMD, Kolonel Mohd Fuad Md Ghazali dan Pegawai Memerintah Skuadron Istiadat Berkuda, Leftenan Kolonel Shahrul Azudin Maulod.
Istiadat ini bukan sahaja memastikan kesinambungan kawalan keselamatan Istana Negara, tetapi juga menjadi platform mendidik masyarakat mengenai nilai, disiplin dan identiti ketenteraan Malaysia.
Selain berperanan sebagai medium pendidikan awam tentang tradisi ketenteraan dan kesetiaan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, istiadat ini turut diharap menjadi tarikan pelancongan utama di Kuala Lumpur, seiring dengan amalan pertukaran pengawal di negara-negara lain seperti United Kingdom dan Kanada.
Turut hadir menyaksikan istiadat hari ini ialah Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman; Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal; Panglima 12 Briged, Brigedier Jeneral Muhammad Fauzi Abu Bakar serta pegawai kanan Tentera Darat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


