KOTA KINABALU: Tindakan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang didakwa menggunakan gelaran 'abang' kepada rakan sejawatnya di China, Wang Ji dilihat sebagai kesalahan amalan diplomatik.

Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, sebagai diplomat tertinggi di negara ini, Hishammuddin perlu berhati-hati dan memilih ungkapan sesuai.

"Sehubungan dengan ini, ringkasnya, komen saya adalah, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah melakukan kesalahan diplomatik.

"Ungkapan yang digunakan oleh Hishammuddin bukan sahaja tidak sesuai tetapi dengan jelas meletakkan Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Menteri Luar Negeri (China) Wang Yi dalam kedudukan yang sukar dan memalukan," katanya.

BACA: Gelaran 'abang' mencermin hubungan peribadi, bukan Malaysia-China - Hishammuddin

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Ujar Anifah, susulan insiden berkenaan, ramai pihak telah tampil melontarkan pandangan termasuklah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menyeru Hishammuddin supaya segera meminta maaf kepada rakyat Malaysia.

"Daripada berdebat dan berusaha membenarkan pilihan ungkapan yang salah, Hishammuddin sebaliknya perlu menerima hakikat bahawa beliau telah melakukan kesalahan diplomatik," katanya.

Terdahulu, kontroversi istilah 'abang' ini  timbul susulan Hishammuddin dalam satu sidang media bersama sempena lawatan dua hari ke China, baru-baru ini yang dimaklumkan telah memberitahu rakan sejawatnya dengan panggilan berkenaan.