SHAH ALAM: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin pada Isnin menzahirkan rasa dukacita dan kecewa mendengar perkembangan terbaharu mengenai operasi penangkapan anjing berkeliaran di Selangor.

Melalui catatan terbaharu di laman sosial Selangor Royal Office, Tengku Norashikin berkata, baginda berkali-kali menekankan rasa tidak setuju dengan pendekatan ‘catch and kill’ atau tangkap dan lupus oleh mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk yang tular membabitkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Titah baginda, banyak lagi kaedah lain yang boleh diguna pakai untuk membendung masalah tersebut, termasuk pemandulan (neuter).


Sebagai Penaung Diraja bagi kempen Stray Free Selangor (SFS) di bawah SPCA Selangor, Tengku Norashikin berkata, baginda mahu PBT memperinci semula pendekatan baharu yang lebih holistik dalam menguruskan anjing terbiar.

“Saya pernah mencadangkan sebelum ini agar usaha-usaha memelihara kebajikan dan mengurangkan bilangan haiwan-haiwan terbiar ini dipergiat, menerusi kempen Create Caring and Compassionate Communities (CCC).

“Kempen CCC antaranya menggariskan beberapa inisiatif utama melibatkan kerjasama di antara PBT dengan SPCA dalam mengendalikan sesi-sesi Responsible Pet Ownerships (RPO) bersama penduduk.

"Ini termasuk mendapatkan khidmat nasihat dan pemantauan daripada SPCA dan NGO sekiranya wujud keperluan untuk melupuskan haiwan-haiwan terbiar ini di atas sebab kesihatan atau sebagainya,” titah baginda.

Tengku Norashikin berkata, selain itu, PBT boleh mewujudkan rumah perlindungan haiwan terbiar bagi setiap taman perumahan dengan kerjasama penduduk yang sayangkan haiwan, selain mewajibkan pemaju perumahan membina atau menyediakan pusat perlindungan seumpamanya.

Titahnya lagi, ketika ini, SPCA Selangor Bersama Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia, Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA) dan Persatuan Veterinar Haiwan Kesayangan Malaysia (MSAVA) giat mengadakan program pemandulan kucing dan anjing dikenali sebagai 'Potong-Royong'.

Sejak dimulakan pada Mac 2023, sejumlah 1,626 ekor haiwan telah dimandulkan menerusi program ini, sebagai usaha mengurangkan populasi haiwan terbiar.

“Saya juga berpendapat sudah tiba masa untuk pihak berwajib meneliti semula Pekeliling Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Bilangan 5 Tahun 2014 mengenai Tatacara Operasi Piawaian (SOP) Penangkapan dan Pelupusan Anjing Terbiar di Kawasan PBT agar lebih relevan dengan situasi semasa.

“Saya benar-benar berharap usaha-usaha untuk menjaga kebajikan haiwan-haiwan terbiar ini akan berterusan dan tidak sekadar melepas batuk di tangga sahaja,” titah Tengku Norashikin lagi.