MALAYSIA
Isu arak: MOTAC komited perketat pemantauan dan pematuhan garis panduan acara

Kenyataan MOTAC hari ini memaklumkan pihaknya dengan penuh rasa tanggungjawab dan takzim amat mengesali sebarang kekeliruan atau salah faham yang telah menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan rakyat.
PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menegaskan komitmennya untuk memperketat pemantauan serta pematuhan terhadap semua garis panduan dan etika penganjuran acara susulan isu arak dalam penganjuran majlis makan malam yang tular baru-baru ini.
Kenyataan MOTAC hari ini memaklumkan pihaknya dengan penuh rasa tanggungjawab dan takzim amat mengesali sebarang kekeliruan atau salah faham yang telah menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan rakyat.
"Kementerian mengambil iktibar daripada perkara ini dan akan memastikan agar perkara seumpama ini tidak akan berulang.
"MOTAC juga akan memastikan setiap pelaksanaan program di bawah seliaannya mematuhi garis panduan serta etika yang telah ditetapkan," menurut kenyataan itu.Kementerian itu turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas nasihat dan teguran membina serta sokongan berterusan terhadap usaha kementerian dalam memperkasa industri pelancongan, seni dan budaya negara.
Menurut MOTAC, segala kesulitan yang timbul amat dikesali dan kementerian berkenaan akan terus memperkukuh komunikasi serta memastikan penambahbaikan berterusan dalam pelaksanaan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.
Terdahulu, Perdana Menteri memberi amaran keras kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing serta kementerian berkenaan agar memastikan bahawa kesilapan menghidangkan arak di acara rasmi kerajaan tidak berulang.
Sebelum ini, tular gambar memaparkan minuman keras dihidangkan pada majlis makan malam sempena program Global Travel Meet yang dihadiri Tiong.
Beberapa gambar juga menunjukkan menteri berkenaan serta tetamu lain memegang gelas berisi wain dan bir.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami